KUALA LUMPUR: Selepas lebih tujuh tahun berdepan prosiding mahkamah, balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akhirnya dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad oleh Felcra Berhad oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Keputusan itu membabitkan tiga pertuduhan bersubahat dengan arwah suaminya menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dihadapi Zizie Izette, 48, berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu di akhir kes selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
Dalam penghakiman ringkasnya, Rosli berkata, mahkamah berpuas hati bahawa keterangan yang dikemukakan tertuduh adalah konsisten, bona fide (niat baik) dan disokong oleh saksi-saksi.
Katanya, mahkamah turut mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan 173(m)(i) Kanun Tatacara Jenayah.
“Mahkamah berpandangan bahawa keterangan tertuduh (Zizie Izette) adalah konsisten, kukuh, bona fide dan disokong bukan sahaja oleh keterangan saksi pembelaan malah saksi pendakwaan.
“Oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan bagi ketiga-tiga pertuduhan di bawah perenggan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata hakim itu.
Selain itu, hakim itu menyatakan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009 juga tidak terpakai dalam kes berkenaan susulan perkembangan terkini kedudukan undang-undang.
Memetik penghakiman majoriti dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hakim itu berkata, pihak pendakwaan perlu membuktikan setiap elemen pertuduhan termasuk kesalahan utama yang didakwa dilakukan Bung Moktar sebagai asas kepada pertuduhan subahat terhadap bekas pelakon itu.
“Apabila Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 dan atas permohonan pihak pendakwaan, mahkamah ini telah memberi perintah pelepasan dan pembebasan terhadapnya selaras dengan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
“Akibat perintah pelepasan dan pembebasan tersebut, Bung Moktar dianggap sebagai seorang yang tidak bersalah kerana tiada dapatan salah direkodkan terhadap beliau sekaligus menyebabkan elemen pembuktian kesalahan utama dalam pertuduhan subahat terhadap Zizie Izette terjejas.
“Memandangkan kesalahan utama tidak dapat dipertahankan, maka secara langsung pihak pendakwaan juga gagal membuktikan elemen-elemen kesalahan di bawah Seksyen 108 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mahkamah turut mendapati Zizie Izette tidak mempunyai pengetahuan mengenai pelaburan berkenaan selain tidak mencampuri urusan kerja suaminya yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad.
“Semasa perbicaraan, Bung Moktar ketika memberi keterangan menyatakan beliau tidak pernah membincangkan perkara mengenai tindakan dan kerja rasmi Felcra Berhad dengan tertuduh.
“Bung Moktar tidak pernah meminta dan menerima sebarang wang yang diterima oleh tertuduh daripada SP24 dan SP25 kerana tidak pernah melibatkan diri dalam urusan kewangan tertuduh.
“Berdasarkan penjelasan di atas, mahkamah ini mendapati bahawa keterangan tertuduh adalah kredibel dan konsisten dengan keterangan saksi pendakwaan yang lain.
“Dapatan ini mengukuhkan lagi dakwaan bahawa tertuduh tidak bersalah atas alasan tertuduh tidak ada pengetahuan tentang pelaburan Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual,” katanya. –UTUSAN










