KOTA KINABALU: Kerangka kompetensi pegawai kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah perlu diwujudkan kerajaan negeri bagi memperkukuhkan institusi kehakiman adat berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mencadangkan kerangka kompetensi itu perlu meliputi semua peringkat pegawai kehakiman.
“Antaranya membabitkan ketua kampung sehingga hakim Mahkamah Tinggi Anak Negeri serta menjadi asas kepada pelantikan, latihan, penilaian prestasi dan pembangunan kerjaya.
“Sebuah mahkamah hanya akan dihormati apabila hakim turut dihormati kerana memiliki ilmu, integriti, kebijaksanaan dan kompetensi yang tinggi. Maka, pembaharuan mahkamah anak negeri hendaklah merangkumi bukan hanya pindaan undang-undang, tetapi pembangunan modal insan kehakimannya,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.
Madius turut mencadangkan supaya kerangka itu disokong oleh sistem pensijilan profesional berasaskan piawaian antarabangsa ISO/IEC 17024 bagi memastikan pelantikan, pembangunan pegawai kehakiman berasaskan merit dan penilaian yang objektif.
Katanya, fungsi itu boleh diperkasakan menerusi Jawatankuasa Penasihat Pelantikan Kehakiman Anak Negeri Seksyen 23 bersama peranan tetua mengikut Seksyen 30 enakmen berkenaan.
“Saya juga mencadangkan supaya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) diperkasakan sebagai pusat kecemerlangan bagi melaksanakan latihan kehakiman, penyelidikan, dokumentasi adat serta program Continuing Professional Development (CPD) secara berterusan.
“Selain itu, saya juga menyarankan penubuhan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah bagi menasihati mengenai pelantikan, kenaikan pangkat, latihan dan tata kelakuan pegawai kehakiman secara lebih telus dan bebas.
“Kewibawaan mahkamah tidak bergantung kepada bangunannya, tetapi kepada integriti institusinya, kebijaksanaan hakim dan keyakinan rakyat terhadap keadilannya,” katanya. – UTUSAN










