Waris dakwa kena scam van jenazah

Waris dakwa kena scam van jenazah

Van jenazah bergerak dari Hospital Melaka menuju ke Taman Keramat pada 13 Jun lalu. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang waris mendakwa menjadi mangsa perkhidmatan van jenazah berkonsepkan amal di Hospital Melaka apabila dikenakan bayaran RM500 selepas dimaklumkan pengurusan jenazah adiknya diberikan secara percuma di Hospital Melaka pada 13 Jun lalu.

Izam Zamzuri Mulup, 54, dari Kuala Lumpur berkata, adiknya meninggal dunia di sebuah hotel di Plaza Mahkota pada 12 Jun lalu sebelum jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Mela­ka untuk proses bedah siasat keesokan harinya.

Menurutnya, dia menghubungi sebuah badan yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah berkonsepkan amal bagi membawa pulang jenazah adiknya untuk dikebumikan di Tanah

Perkuburan Islam Taman Keramat, Kuala Lumpur.

“Mereka memaklumkan semua urusan termasuk mandi jenazah dan penggunaan van jenazah adalah percuma.

“Lebih kurang pukul 3.30 petang, proses bedah siasat adik saya selesai dan jenazah dimandikan.

“Kira-kira pukul 4.30 petang, van jenazah bertolak dari Hospital Melaka menuju ke Masjid Al Ansar, Taman Keramat untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Izam berkata, sebaik sahaja jenazah tiba di Masjid Al-Ansar, wakil kumpulan berkenaan menemuinya dan meminta bayaran sebanyak RM500.

“Mereka minta RM300 untuk mandi jenazah dan RM200 lagi bagi penggunaan van jenazah.

“Saya memang terkejut sebab pada awalnya mereka cakap semuanya percuma. Bila sampai di masjid baru diminta bayaran,” katanya.

Menurut Izam, walaupun berasa tidak puas hati dengan tindakan tersebut, dia memilih untuk tidak memanjangkan perkara itu memandangkan ketika itu tumpuannya hanya mahu menyelesaikan urusan pengebumian adiknya.

“Saya malas hendak bertekak ketika itu kerana semua urusan pengebumian sedang berjalan.

“Akhirnya saya bayar sahaja RM500 seperti yang diminta,” katanya.

Tambahnya, dia berharap kejadian seumpama itu tidak berulang lagi kerana waris yang sedang berdepan saat kehila­ngan insan tersayang tidak sepatutnya dibebankan dengan tuntutan bayaran yang tidak dimaklumkan lebih awal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN