Sempena Hari Denggi ASEAN ini, rakyat Malaysia diingatkan bahawa denggi masih menjadi ancaman yang serius terhadap kesihatan awam.
Ramai masih menganggap denggi sebagai penyakit bermusim dan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Namun hakikatnya, denggi boleh menyerang sesiapa sahaja, pada bila-bila masa sepanjang tahun dan bertukar menjadi penyakit serius yang boleh menjejaskan kehidupan dalam sekelip mata.
Inilah yang dialami Syelina, seorang perancang acara berusia 45 tahun apabila dua kali keluarganya dilanda krisis denggi yang membabitkan tiga generasi, sekali gus mengubah pandangan mereka terhadap denggi.
“Kali pertama pada 2014, sehari sebelum Aidilfitri. Memang sudah beberapa hari saya demam tetapi saya fikir ia tidak serius, cuma demam biasa. Namun apabila keadaan semakin teruk, saya dimasukkan ke hospital dan didiagnos menghidap denggi.
“Pada waktu itu, saya berada di Pulau Pinang bersama keluarga suami dan jauh daripada ibu yang sudah tua di Terengganu. Tanpa disangka, pada masa sama, ibu juga beberapa hari demam tetapi tidak mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, sebenarnya, ibu sedang bersiap-siap untuk datang melawatnya di hospital. Namun sebelum sempat bertolak, ibunya rebah di bilik air dan darah keluar dengan begitu banyak.
Ibunya kemudian dikejarkan ke hospital dan didiagnos menghidap demam denggi berdarah, iaitu jenis denggi yang teruk dan boleh mengancam nyawa.
“Saya di hospital, dan ibu di ICU (Unit Rawatan Rapi), tetapi di negeri lain. Namun paling menyedihkan, saya tidak boleh melawat dia. Saya beraya di atas katil hospital. Ibu juga begitu.
“Pada Aidilfitri yang sepatutnya menyatukan kami sekeluarga, kami masing-masing berjuang dan berdoa agar diberi peluang bertemu semula. Doktor memberitahu, ibu dalam keadaan kritikal.
Ketika itu dia tidak sedarkan diri, kehilangan banyak darah dan perlukan pemindahan darah. Itu amat menggerunkan saya,” katanya.
Syelina dibenarkan keluar daripada hospital selepas 10 hari, lebih awal daripada yang dirancang, supaya dia boleh segera balik ke Terengganu untuk berada di sisi ibunya. Selepas tiga minggu dirawat di hospital, termasuk rawatan di ICU, ibunya beransur pulih.
Lebih sedekad kemudian, pada 2025, denggi menyerang semula. Kali ini, Syelina yang sakit dahulu, diikuti oleh anak perempuannya yang ketika itu baru berusia lapan tahun.
“Pada mulanya, demam biasa saja tetapi menjelang hari keempat, anak saya jadi sangat lemah. Kiraan plateletnya semakin rendah. Keadaannya merosot dengan cepat sehingga mengalami denggi teruk disertai kebocoran plasma.
“Apabila kiraan plateletnya menjunam ke angka satu digit, dia berisiko tinggi mengalami pendarahan dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) untuk pemantauan rapi,” katanya.
Pada saat itu, perasaan gentar menguasai diri. Peristiwa yang berlaku pada ibunya 11 tahun lalu menguasai fikiran. Syelina membayangkan sejarah akan berulang dan dia terpaksa mengharungi pengalaman yang sama, tetapi kali ini membabitkan anaknya pula.
Walaupun Syelina sendiri bertarung dengan denggi tetapi dia membuat keputusan sukar untuk dibenarkan keluar awal supaya boleh dimasukkan ke hospital sama dengan anaknya kerana tidak mahu anaknya melalui saat yang sukar itu sendirian.
Selain menghadapi krisis kesihatan, perkara yang paling terkesan adalah perjalanan kehidupan harian keluarga mereka. Ahli keluarga terpaksa berjauhan, rutin harian terjejas dan segala tanggungjawab penjagaan serta pengurusan rumah tangga tergalas di bahu suaminya.
“Apa yang kami inginkan bukan sekadar untuk sembuh, tetapi rasa selamat berada bersama seisi keluarga…kembali ke rumah sendiri, dan menjalani kehidupan biasa.
“Kini, walaupun sudah sembuh sepenuhnya, kesannya masih terasa. Sekarang setiap kali nampak nyamuk, saya cemas. Malah seluruh keluarga saya juga lebih berhati-hati. Kami mengelak keluar ketika hari hujan kerana bimbang perkara sama berulang,” katanya.
Penyakit Yang Masih Dipandang Ringan
Perunding Pediatrik dan Pakar Penjagaan Rapi Pediatrik, Dr. Anis Siham Zainal Abidin berkata, ramai yang masih memandang ringan bahaya denggi kerana pada peringkat awal, ia biasanya bermula dengan gejala yang menyerupai demam virus biasa.

Hakikatnya, denggi boleh menjadi teruk dengan sangat pantas dan tiada rawatan khusus untuk menyembuhkannya. Dalam masa 24 jam, keadaan pesakit boleh merosot sehingga menjadi kritikal.
Ada beberapa tanda amaran yang tidak boleh diabaikan iaitu demam panas berlarutan dengan suhu 39 sehingga 40°C, sakit perut, lesu dan muntah.
“Denggi yang teruk,biasanya muncul selepas demam reda dan boleh menyebabkan komplikasi mengancam nyawa termasuk kebocoran plasma, pendarahan dan kegagalan organ.
“Apabila salur darah bocor, cecair terkumpul di paru-paru dan abdomen, menyebabkan pesakit sukar bernafas. Pada masa sama, paras platelet menurun, akan meningkatkan risiko pendarahan.
Gabungan semua ini boleh mempercepatkan kegagalan organ berfungsi,” katanya.
Katanya lagi, bagi kes Syelina, ia mengesahkan fakta yang sangat penting iaitu denggi tidak memilih mangsa. Ia boleh menyerang semua peringkat umur, dari kanak-kanak kecil hingga warga tua.
Jangkitan boleh berlaku lebih daripada sekali kerana terdapat empat jenis strain virus denggi berbeza. Bahkan, jangkitan kedua dengan strain yang berbeza boleh membawa risiko lebih tinggi
untuk mendapat denggi yang teruk.
Pencegahan
Oleh kerana setakat ini tiada penawar denggi, maka pencegahan kekal sebagai langkah pertahanan paling berkesan. Justeru, perlu untuk mengambil pendekatan proaktif.
“Hapuskan tempat pembiakan tidak kira sedikit mana pun, air bertakung dalam bekas, longkang atau barangan rumah boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Lindungi diri daripada gigitan dengan menggunakan ubat penghalau nyamuk. Pakai pakaian menutupi tubuh dan pasang skrin tingkap atau jaring nyamuk.
“Dapatkan rawatan dengan segera kerana kini denggi boleh dikesan seawal hari pertama kemunculan simptom. Diagnosis awal boleh menyelamatkan nyawa. Selain itu, dapatkan nasihat doktor mengenai vaksinasi denggi,” katanya.
Dr. Anis berkata, kesimpulannya, setiap individu perlu mengubah cara berfikir kerana terlalu ramai beranggapan ‘Ia tidak akan berlaku pada saya.’
Bagi keluarga Syelina, pengajaran yang diperoleh amat jelas. Terselamat daripada denggi hanya sebahagian daripada cerita. Hidup dirundung kebimbangan penyakit itu kembali menyerang adalah ‘cerita’ yang sentiasa mencabar fikiran mereka.
“Apabila denggi menyerang, penyesalan kerana tidak melakukan pencegahan tidak bermakna. Tiada siapa pun yang perlu melalui pengalaman kehilangan saat-saat berharga seperti bersama keluarga pada Aidilfitri untuk memahami betapa seriusnya penyakit ini. Ketika itu, kita sudah terlewat untuk melindungi detik yang paling bermakna dalam hidup kita,” katanya.-UTUSAN










