Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi yang melahirkan bakat digital bertaraf dunia apabila mahasiswa Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (META), Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad, dinobatkan sebagai johan CCC’s Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia National Championship 2026 di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dekan META UPSI, Prof. Madya Dr. Maizatul Hayati Mohamad Yatim berkata, kejayaan itu merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan kerana membuktikan mahasiswa UPSI mempunyai keupayaan untuk bersaing dan menyerlah di peringkat tertinggi dalam bidang teknologi kreatif serta reka bentuk digital.
“Kemenangan Muhammad Fawwaz Haiqal bukan sahaja mengharumkan nama fakulti dan universiti, malah menjadi bukti bahawa UPSI berjaya melahirkan mahasiswa yang memiliki gabungan kemahiran teknikal, kreativiti dan pemikiran inovatif yang diperlukan dalam era digital masa kini.
“Kejayaan ini juga mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang diterapkan di Fakulti Komputeran dan META-Teknologi dalam menyediakan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi turut memiliki kompetensi profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan Muhammad Fawwaz Haiqal membawa pulang hadiah kemenangan dan tajaan perjalanan bernilai RM24,000, sekali gus melayakkan beliau mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Adobe Certified Professional (ACP) World Championship yang akan diadakan di Anaheim, California, Amerika Syarikat dari 26 hingga 29 Julai ini.
Muhammad Fawwaz Haiqal yang mengikuti Program Pendidikan (Teknologi Maklumat) berjaya menewaskan lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara dalam pertandingan berprestij yang menguji kemahiran menghasilkan kandungan kreatif menggunakan perisian Adobe.
ACP World Championship yang dianjurkan oleh Certiport merupakan pertandingan bertaraf antarabangsa yang menguji keupayaan peserta dalam mereka bentuk poster kreatif menggunakan Adobe Photoshop, Adobe Illustrator dan Adobe InDesign.
Pada peringkat dunia, peserta akan mewakili negara masing-masing dalam menghasilkan poster yang informatif dan kreatif untuk organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dipilih oleh pihak penganjur. –UTUSAN










