UniSZA arah bunting iklan klinik kontroversi diturunkan

UniSZA arah bunting iklan klinik kontroversi diturunkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil tindakan segera menurunkan bunting iklan Klinik Perubatan UMC yang tular dalam media sosial selepas mengakui kandungan bahan promosi itu menggunakan pemilihan perkataan yang kurang sesuai.

UniSZA dalam satu kenyataan memaklumkan, sejurus selepas isu itu dikenal pasti pada 13 Julai lalu, pengurusan universiti mengarahkan UniSZA Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) menurunkan semua bunting berkenaan bagi mengelakkan salah faham, kekeliruan dan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat.

Menurut kenyataan itu, semua bunting berkenaan diturunkan pada hari sama ia dipasang dengan tempoh paparan kurang daripada lima jam.

“Universiti mengakui kandungan bunting tersebut menggunakan pemilihan perkataan yang kurang sesuai untuk dipaparkan kepada masyarakat umum.

“Perkara ini dipandang serius dan UHSB telah diarahkan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan setiap bahan promosi yang diterbitkan pada masa hadapan mematuhi prosedur, garis panduan dan piawaian komunikasi yang ditetapkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, operasi Klinik Perubatan UMC termasuk pengurusan bahan promosi berada di bawah tanggungjawab UniSZA Medical Services Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat milik UHSB.

Sehubungan itu, UniSZA turut mengarahkan UHSB menyemak semula proses semakan dan kelulusan semua bahan promosi di bawah syarikat miliknya supaya lebih teliti, profesional serta menghormati sensitiviti masyarakat.

Pada masa sama, universiti itu memaklumkan UHSB melalui UniSZA Medical Services Sdn. Bhd. telah mengeluarkan kenyataan rasmi termasuk memohon maaf kepada orang ramai atas ketidakselesaan, kekeliruan dan kebimbangan yang timbul susulan penularan bunting berkenaan.

“UHSB turut memberi komitmen untuk menambah baik proses semakan dan kelulusan bahan promosi serta memperkukuh kawalan dalaman bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang.

“Sebagai institusi induk, UniSZA akan terus memantau pelaksanaan langkah penambahbaikan yang diarahkan kepada UHSB selain memastikan semua bentuk komunikasi dan promosi yang menggunakan nama serta imej universiti sentiasa mencerminkan nilai profesionalisme, integriti dan menghormati sensitiviti masyarakat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN