PETALING JAYA: Tiada keperluan bagi Pas mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO berhubung sokongan di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pendirian parti yang memberi fokus kepada kekuatan jentera dan kawasan yang ditandingi PN.
“Tiada keperluan berbincang dengan BN-UMNO mengenai sokongan ahli Pas. PN tidak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut. Pas mahu Johor ditadbir oleh orang Melayu Islam, bukan daripada Pakatan Harapan (PH)
“Andainya mendapat sokongan dan memenangi kerusi yang ditandingi, ia menjadi kayu ukur kekuatan PN dan penentu kerajaan masa depan di Johor. Ia juga satu isyarat jelas kepada BN, bahawa gabungan bersama PH adalah satu kesilapan politik UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, terdapat persoalan sama ada sokongan pengundi Pas kepada calon BN di beberapa kerusi boleh membuka ruang kepada kerjasama politik yang lebih luas pada masa akan datang.
Mengulas perkara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas kekal dengan pendirian bahawa kekuatan parti dan strategi jentera menjadi pertimbangan utama dalam menghadapi pilihan raya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan fokus utama Pas adalah memastikan kemenangan calon yang bertanding di bawah PN di kawasan terlibat.
Ditanya mengenai kemungkinan implikasi politik jangka panjang daripada pola sokongan tersebut, beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut.
DI BATU PAHAT: Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kehadiran wakil Pas memberi sokongan dalam kempen pilihan raya BN merupakan sikap yang matang selain cerminan keterbukaan dalam berpolitik
Katanya, kehadiran wakil Pas memberi sokongan amat menggembirakan dan di luar jangkaan.
Menurut calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu, kehadiran ahli jawatankuasa Pas Batu Pahat, Misran Samian dan Hazrin Abdul Hamid menunjukkan hubungan politik yang lebih terbuka dan tidak lagi terikat dengan garis lama perseteruan.
“Dakwaan kononnya kerjasama itu bersifat perkauman adalah tidak tepat dan hanya retorik politik pihak tertentu untuk menakutkan pengundi Cina.
“Saya percaya pengundi Johor lebih matang dan mampu menilai isu sebenar tanpa dipengaruhi sentimen yang dimainkan pihak luar sepanjang kempen berlangsung,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit, semalam.
Onn Hafiz berkata, beliau dimaklumkan kelmarin melalui panggilan telefon oleh calon BN bagi DUN Rengit, Mohd. Zaidi Jaapar, mengenai kehadiran wakil Pas tersebut.
Beliau mengakui awalnya terkejut dengan perkembangan tersebut, namun dalam masa sama teruja terhadap kesediaan wakil Pas untuk hadir memberi sokongan secara terbuka.
“Saya amat mengalu-alukan kehadiran wakil Pas itu dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif yang mencerminkan keterbukaan politik dan hubungan harmoni di peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN










