PETALING JAYA: Alasan kerajaan mengumumkan peruntukan RM2.5 juta bagi kerja-kerja pembaikan Flat Taman Ungku Tun Aminah sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai tidak berasas.
Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Amir Syafiq Ameer Soekre berkata, walaupun pengumuman itu dibuat sebelum hari penamaan calon dan tidak melanggar undang-undang, ia tetap membabitkan soal integriti serta keadilan, bukan sekadar aspek teknikal perundangan.
Katanya, wang awam adalah hak rakyat dan peruntukan untuk membaiki rumah rakyat sepatutnya disalurkan mengikut keperluan, bukannya diumumkan mengikut jadual pilihan raya bagi dijadikan modal meraih undi.
“Penduduk Flat Taman Ungku Tun Aminah tidak memerlukan ‘hadiah’ daripada mana-mana menteri. Mereka berhak mendapat rumah yang selamat, penyelenggaraan berkala dan kehidupan bermaruah.
“Pembaikan rumah kos rendah adalah tanggungjawab kerajaan, bukannya jasa yang perlu dibalas dengan sokongan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amir Syafiq berkata, kelemahan undang-undang pilihan raya tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghalalkan penggunaan pengumuman peruntukan awam sebagai kelebihan politik.
Katanya, sekiranya terdapat ruang dalam undang-undang yang membolehkan amalan sedemikian berlaku tanpa sebarang tindakan, pindaan perlu dilakukan bagi memastikan persaingan lebih adil kepada semua calon.
“Sebagai calon PSM Skudai, saya percaya dana awam mesti diagihkan berdasarkan keperluan rakyat, bukan kepentingan politik.
“Keputusan mengenai penyelenggaraan perumahan awam juga sepatutnya melibatkan kerajaan tempatan dan jawatankuasa penduduk, bukannya bergantung kepada pengumuman menteri menjelang pilihan raya.
“Rakyat tidak sepatutnya berasa terhutang budi kepada mana-mana ahli politik untuk mendapatkan hak yang sememangnya milik mereka. Dana awam adalah hak rakyat, bukan alat untuk membeli sokongan politik,” katanya. – UTUSAN










