UMT jemput pelajar miskin ke kampus untuk pendaftaran

UMT jemput pelajar miskin ke kampus untuk pendaftaran

MOHD. Zamri Ibrahim (tengah) menyampaikan Bantuan Awal Pengajian dan Baucar Makanan kepada Nurul Amira Abdul Hamid (dua dari kiri) di Parit Jawa, Bagan Serai hari ini. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Impian seorang remaja perempuan untuk me­lanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang hampir musnah akibat kekangan kewangan keluarga akhirnya menjadi kenyataan apabila pihak universiti sendiri menjemputnya di kediamannya di Parit Jawa untuk dibawa mendaftar ke kampus.

Pelajar terbabit, Nurul Amira Abdul Hamid, 18, sebelum ini menerima tawaran mengikuti Program Pusat Asasi Stem di UMT, namun hampir melepaskan peluang berkenaan kerana tidak mampu menanggung kos permulaan pengajian selain berdepan masalah pengangkutan.

Naib Canselor UMT, Profesor Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihak universiti mengambil inisiatif turun padang selepas dimaklumkan mengenai kesukaran yang dihadapi pelajar berkenaan bagi memastikan remaja itu tidak tercicir daripada menyambung pengajian hanya disebabkan faktor kewangan.

“Apabila kami menerima maklumat pelajar ini tidak dapat meneruskan pengajian ke­rana masalah kewangan keluarga, kami merasakan menjadi tanggungjawab universiti untuk membantu.

“Hari ini kami hadir sendiri bertemu keluarga dan membawa Nurul Amira ke kampus supaya beliau dapat mendaftar serta memulakan pengajian tanpa terus dibelenggu masalah kewangan dan pengangkutan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parit Jawa, hari ini.

Mohd. Zamri turut menyampaikan bantuan kewangan kepada Nurul Amira.

Mohd Zamri berkata, pelajar yang berdepan kekangan kewa­ngan tidak perlu menangguhkan hasrat menyambung pengajian kerana universiti mempunyai pelbagai mekanisme bantuan bagi membolehkan mereka mendaftar terlebih dahulu.

“Datang dahulu ke universiti. Soal bantuan kewangan akan kita uruskan melalui pelbagai skim bantuan yang disediakan supaya pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran,” katanya.

Katanya, lebih 10 pelajar yang berdepan masalah hampir sama telah dibantu oleh UMT sepanjang tahun ini bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN