UMNO tidak akan terlibat pertikaian istana, adat di Negeri Sembilan

UMNO tidak akan terlibat pertikaian istana, adat di Negeri Sembilan

ASYRAF Wajdi Dusuki (dua dari kiri) bergambar bersama para penyokong selepas menyampaikan ceramah BN bagi DUN Lenggeng di Seremban malam tadi.-UTUSAN/NAZARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) mahu semua parti politik terutamanya yang menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) menghentikan naratif ‘jika BN menang maka Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir akan disingkirkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan’.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, naratif itu adalah tidak masuk akal sama sekali dan ia merupakan cubaan untuk memperbodohkan akal fikiran rakyat.

Katanya, UMNO adalah satu-satunya parti yang meletakkan kedudukan raja-raja Melayu sebagai asas penting dalam Perlembagaan parti itu dan sentiasa mempertahankan, memelihara kedudukan institusi raja termasuk di Negeri Sembilan.

“UMNO tidak pernah mencampuri urusan istana dan kita sentiasa taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat. Daripada awal lagi kita telah buat kenyataan bahawa UMNO tidak akan terlibat dalam pertikaian istana dan kita mendukung institusi raja dan adat di Negeri Sembilan.

“Jadi saya hendak ingatkan, jangan diulangi proses pembodohan rakyat seperti di Johor dengan kempen ‘kalau BN menang, Datuk Seri Najib Razak bebas’ manakala di Negeri Sembilan, `kalau BN menang Yang di-Pertuan Besar akan ditukar’. Ini tidak masuk akal sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng di Ampangan dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, calon BN bagi DUN Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin.

Pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) di Kuala Pilah minggu lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran agar semua parti politik supaya tidak menjadikan institusi raja sebagai bahan kempen dalam PRN kali ini.

Asyraf Wajdi turut membidas pihak yang menjadikan sentimen perkauman sebagai bahan kempen pilihan raya dengan cubaan menakut-nakutkan pengundi jika memilih parti tertentu.

Jelasnya, tidak ada dalam manifesto atau ceramah BN yang menyatakan sesuatu kaum akan dihapuskan jika parti itu menang dalam pilihan raya.

“Kamu sudah berada dalam sebuah kerajaan yang kita bekerjasama. Jadi usah kita memainkan sentimen yang merosakkan perpaduan di akar umbi. Kalau pemimpin di atas beri kerjasama kenapa kita perlu memainkan sentimen amarah sehingga kita biarkan anak-anak buah kita berantakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN