KUALA LUMPUR: Keperibadian mulia, berpendidikan tinggi dan memiliki wajah tampan menjadikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sentiasa menjadi perhatian rakyat, malah ramai yang tertanya-tanya siapakah bakal suri hati pewaris takhta Kesultanan Pahang itu.
Mewarisi sifat berjiwa rakyat daripada ayahandanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bondanya, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Hassanal bukan sahaja dekat di hati rakyat, malah dipandang sebagai bakal pemerintah negeri yang disegani.
Di sebalik perhatian terhadap putera sulungnya itu, Tunku Azizah mengakui sebagai seorang ibu, doa yang tidak pernah putus dipanjatkan adalah agar Tengku Hassanal dipertemukan dengan seorang wanita solehah yang mampu menjadi teman hidup, pendamping setia dan kelak memikul amanah besar sebagai Permaisuri negeri.
Tunku Azizah bagaimanapun meletakkan harapan tinggi agar dapat dikekalkan dinasti raja supaya dapat mewarisi takhta kesultanan Pahang.
“Saya berdoa Tengku Hassanal dapat wanita yang solehah, tetapi kalau boleh Kebawah Duli Sultan Pahang dan saya mahu anak raja.
“Namun kalau sudah jodoh dengan orang lain pun, harapannya seorang yang beragama, bermaruah dan berpelajaran, boleh jaga baginda serta pandai masak. Anakanda saya cerewet,” titah baginda dalam satu temubual khas bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, bagi Tunku Azizah, keturunan diraja bukanlah syarat mutlak kerana perkara yang lebih utama ialah keperibadian dan kemampuan wanita itu memikul tanggungjawab besar sebagai isteri kepada bakal Sultan Pahang dan mungkin suatu hari nanti Raja Permaisuri Agong.
“Kena pilih dengan betul. Penting juga jaga rumah, nak besarkan anak. Tetapi yang paling penting, sesiapa yang dia kahwin itu akan menerajui negeri pada satu hari.
“Kalau jadi Tengku Puan Pahang atau Che Puan Pahang, dia akan jadi ‘ibu’ negeri. Dia akan mewakili negeri. Jadi sesiapa yang dia kahwini mestilah ada reputasi yang terpuji.
“Jadi kenapa perlu anak raja kerana dia tahu dan boleh menyesuaikan diri, tahu apa yang selalu didedahkan sebagai anak raja dan tahu tugas-tugasnya, jaga maruah sebagai anak raja,” titah baginda.
Tunku Azizah turut mengimbau pesanan ayahandanya yang sentiasa mengingatkan bahawa setiap tindakan seorang anak raja bukan sekadar membawa nama diri sendiri, malah mencerminkan seluruh institusi diraja.
“Ayah saya selalu cakap pada saya, awak anak sultan, anak raja. Orang lain buat benda di tepi jalan pun tak ada orang tahu. Bila awak buat benda, seluruh negeri akan berbual. Esok orang kata anak Sultan Johor yang buat tak betul.
“Saya masih ingat ayahanda selalu bertitah, ‘biar anak saya menangis, jangan saya menangis’,” titah baginda.
Menurut baginda, pesanan itulah yang kini disampaikan pula kepada semua anakanda baginda agar memilih pasangan hidup yang benar-benar memahami amanah besar yang bakal dipikul.
Walaupun sering menerima pelbagai cadangan daripada masyarakat mengenai calon sesuai untuk Tengku Hassanal, Tunku Azizah menegaskan baginda tidak pernah menyusun senarai khusus kerana percaya soal jodoh perlu dipilih sendiri oleh anakandanya.
“Saya tak berani cakap. Saya serah pada dia. Akhirnya saya nak dia pilih sendiri juga kerana itulah kehidupan dan kegembiraan dia.
“Dia yang akan hidup dengan orang itu sepanjang hidup. Kalau saya pilihkan, dia tak berkenan, susah juga nanti,” titah baginda sambil berseloroh mengingatkan bagaimana orang dahulu berkahwin tanpa mengenali pasangan terlebih dahulu tetapi mampu hidup bahagia sehingga ke akhir hayat.
Dalam nada bersahaja, Tunku Azizah turut mengakui usia baginda yang kini mencecah 66 tahun menyebabkan keinginan untuk melihat ada pengganti menerajui negeri.
“Saya selalu pesan pada dia, ayah dia nak tengok keturunan, waris pengganti yang kedua.
“Umur saya sudah 66 tahun. Belum lahir lagi keturunan yang nak mengganti. Susah juga,” titah baginda.
Tunku Azizah turut mengakui terdapat calon yang berkenan di hati baginda, namun tetap menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada Tengku Hassanal. Sebagai ibu, saya mendoakan yang terbaik untuk semua anak, bukan Tengku Mahkota Pahang sahaja.
“Saya akui, adalah yang berkenan dalam hati saya. Tetapi dialah tetap pilih. Saya kata tahun depan kalau tak kahwin, mama pilih. Tak nak tunggu awak dah,” titah baginda dalam nada berseloroh.
Pada masa sama, baginda tidak menafikan hasrat sekiranya Tengku Hassanal dapat berkahwin dengan seorang puteri antara institusi kesultanan di Alam Melayu dan Nusantara Melayu seperti yang berlaku pada zaman dahulu.
“Sebuah perkahwinan dinasti raja. Mengeratkan semula silaturahim di antara semua Kesultanan Melayu Nusantara,” titah baginda.
Namun, Tunku Azizah menegaskan, apa juga latar belakang bakal menantunya, perkara paling utama tetap sama iaitu memiliki pegangan agama yang kukuh, orang Melayu serta memahami tanggungjawab besar sebagai suri kepada seorang raja.
“Hanya Allah yang tahu siapa jodoh terbaik untuk Tengku Hassanal, jodoh di tangan Allah. Saya doakan anak saya dikurniakan jodoh terbaik, bakal menjadi ibu kepada cucu saya dan satu hari nanti mengganti saya sebagai ibu rakyat Pahang,” titahnya.-UTUSAN










