Tunggu masa tuntut semakan kadar pajakan Pulau Pinang

Tunggu masa tuntut semakan kadar pajakan Pulau Pinang

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Kedah hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengemukakan tuntutan semakan kadar bayaran pajakan Pulau Pinang selepas melengkapkan semua dokumen sejarah, kajian dan asas perundangan berkaitan perkara itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, segala persediaan bagi tuntutan tersebut telah disempurnakan pasukan penyelidik dan perundangan negeri selepas menjalankan kajian secara menyeluruh.

Katanya, hasil kajian itu turut dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan mendapat persetujuan untuk dijadikan asas kepada tuntutan berkenaan.

“Saya berpuas hati dengan apa yang telah disediakan oleh pasukan penyelidik dan pasukan perundangan kita. Perkara itu juga telah dibentangkan kepada Exco-Exco dan mereka turut berpuas hati.

“Semua dokumen sudah siap, cuma kita sedang mempertimbangkan masa yang paling sesuai untuk mengemukakannya,” katanya dalam siaran satu podcast yang baru-baru ini.

Pada 5 Julai lalu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa selaras dengan semangat serta maksud asal perjanjian.

Baginda bertitah, bayaran pajakan yang diterima Kerajaan Kedah ketika ini jauh lebih rendah daripada nilai yang sewajarnya, selain menegaskan hak serta kedaulatan Kedah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati semua pihak.

Titah itu dizahirkan ketika Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di Istana Anak Bukit.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira keadaan semasa sebelum menyerahkan dokumen tuntutan berkenaan bagi memastikan proses itu dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih kondusif.

“Kita kena fikir sama ada masa sekarang sesuai ataupun kita tunggu sedikit lagi. Kalau dibuat sekarang, kita tahu akan ada pihak yang mempertahankan pendirian masing-masing.

“Kita mahu proses ini berlangsung dalam keadaan yang lebih neutral supaya segala penemuan dan hujah dapat dinilai secara adil. Ada beberapa kaedah yang akan digunakan, tetapi saya tidak boleh dedahkan semuanya sekarang,” katanya.

Beliau berkata, antara saluran yang sedang dipertimbangkan ialah memfailkan tindakan di mahkamah, membawa perkara itu ke Majlis Raja-Raja serta mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menolak dakwaan bahawa Kerajaan Kedah hanya mahu memperoleh bayaran tambahan daripada kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, usaha tersebut bukan bertujuan mendapatkan duit percuma, sebaliknya bagi memastikan kadar bayaran pajakan disemak semula mengikut nilai yang sewajarnya selepas tidak pernah dikaji sejak 1786.

Beliau berkata, usaha yang sedang digerakkan kerajaan negeri turut membuka ruang kepada rakyat untuk memahami semula sejarah hubungan Kedah dengan Pulau Pinang berdasarkan dokumen-dokumen lama yang berjaya ditemui.

Katanya, pasukan penyelidik kerajaan negeri menemukan pelbagai dokumen sejarah berusia lebih 200 tahun yang sebelum ini jarang diketengahkan kepada umum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, tuntutan berkenaan berasaskan isu yang masih belum diselesaikan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, ketika itu keutamaan diberikan kepada usaha memperoleh kemerdekaan terlebih dahulu sebelum isu pajakan Pulau Pinang dirundingkan semula.

“Perkara itu turut direkodkan dalam Hansard dan selepas merdeka, isu ini terus senyap. Saya rasa sejarah ini sangat penting kerana ia menjadi asas kepada tuntutan yang kita kemukakan hari ini,” katanya.

Tambah beliau, bayaran pajakan tersebut merupakan tanggungan kerajaan Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 167 Perlembagaan Persekutuan.

“Kadar bayaran itu bermula pada nilai RM10,000 sebelum dinaikkan kepada RM10 juta setahun ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun tidak pernah disemak semula selepas itu.

“Tahun depan genap 70 tahun, tetapi tidak pernah dibincangkan semula. Kenapa dibiarkan? Sebab tidak ada orang mahu bercakap mengenainya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN