Tujuh sekeluarga ditahan dalam operasi banteras PATI

Tujuh sekeluarga ditahan dalam operasi banteras PATI

MOHD. Yusri Mohd. Nor (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan dokumen warga asing semasa Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu di sekitar Marang, Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Tujuh sekeluarga warga Myanmar termasuk empat kanak-kanak antara 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Op Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu di sekitar Kuala Terengganu dan Marang, hari ini.

Kumpulan itu terdiri daripada seorang lelaki, tiga wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia antara empat tahun hingga 31 tahun. Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh.

Semua yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Pengarah JIM Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, operasi bermula pada pukul 10 pagi itu dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta Majlis Daerah Marang (MDM).

“Seramai 61 individu diperiksa dalam operasi ini dan 10 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Dalam operasi sama, kita mengeluarkan tiga saman kepada majikan yang disyaki menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen yang sah,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Mohd. Yusri berkata, operasi kali ini memberi tumpuan kepada premis-premis perniagaan yang menggaji atau dikendalikan warga asing.

Katanya, terdapat beberapa warga asing cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan, namun dapat ditahan oleh anggota penguat kuasa.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusri berkata, JIM Terengganu telah melaksanakan 206 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri sepanjang Januari hingga Jun lalu.

“Sepanjang tempoh itu, seramai 3,184 individu telah diperiksa dengan 970 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Kita juga telah mengambil tindakan terhadap 28 majikan yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen. Daripada jumlah tangkapan itu, kebanyakannya melibatkan warga Bangladesh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN