Trauma punca dua tan sampah penuhi rumah warga emas

Trauma punca dua tan sampah penuhi rumah warga emas

SEBAHAGIAN daripada ahli NGO terlibat membersihkan sampah di kediaman K. Paruvathi di Jalan Selama di Bagan Serai, semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Trauma selepas beberapa kali menjadi mangsa kecurian menyebabkan seorang lelaki enggan membenarkan orang luar memasuki rumah­nya, sehingga kediaman didiaminya bersama ibu warga emas terlantar, dipenuhi lebih dua tan sampah sejak lebih setahun lalu.

Keadaan itu mendapat perhatian apabila 12 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu melaksanakan operasi gotong-royong membersihkan rumah berke­naan di Batu 1, Jalan Selama, di sini semalam.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Prihatin Sosial Negeri Perak, Mat Nayan Said berkata, anak kepada warga emas terbabit, V. Sivasubramaniam, 59, pada awalnya disangka bersikap agresif apabila penduduk tidak berani memasuki rumah ber­kenaan.

Katanya, hasil perbincangan mendapati lelaki itu sebenarnya mengalami trauma akibat beberapa kejadian kecurian pernah berlaku di rumah tersebut sehingga menyebabkan dia hilang kepercayaan terhadap orang luar.

“Selepas diberi penerangan dan pendekatan yang sesuai, dia bersetuju memberikan kerjasama. Semua agensi kemudian menyelaras tindakan menerusi pendekatan One Stop Centre se­belum operasi pembersihan di­lakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Keluarga Angkat One Stop Centre Sejahtera Sosial Daerah Kerian.

Sivasubramaniam tinggal di ke­diaman itu bersama ibunya, K. Paruvathi, 88, yang terlantar akibat masalah kesihatan dan memerlukan penjagaan rapi.

Mat Nayan berkata, Paruvathi menerima Bantuan Warga Emas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak tiga bulan lalu, manakala bantuan untuk anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sedang diproses.

“Kami turut mengemukakan permohonan bantuan di bawah program Perak Sejahtera bagi membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Masyarakat katanya perlu lebih prihatin terhadap keadaan jiran, terutama warga emas yang uzur, supaya bantuan dapat diberikan lebih awal dan masalah tidak berlarutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN