ALOR SETAR: Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 yang akan berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman dari 30 Julai hingga 2 Ogos depan dijangka terus menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan budaya dan ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, program itu menghimpunkan pelbagai elemen seni, budaya, warisan, makanan tradisional dan aktiviti komuniti yang mencerminkan identiti Kedah.
“TOK 2026 selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dalam sektor pelancongam budaya, ia berpotensi menarik lebih 550,000 pengunjung dari dalam dan luar negara serta memberi limpahan ekonomi kepada usahawan, penggiat seni dan industri kreatif,” katanya pada sidang akhbar TOK 2026, hari ini.
Beliau berkata, antara tarikan utama TOK adalah Fantastic Food Fest by Kak Nab yang tahun ini melibatkan 135 vendor makanan selaim sembilan pejabat daerah akan mengetengahkan makanan serta produk warisan masing-masing yang menjadi identiti setiap daerah di Kedah.
Mohd Salleh berkata, kejayaan penganjuran sebelum ini membuktikan TOK semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila edisi 2024 mencatatkan kehadiran 523,646 pengunjung dengan pulangan ekonomi (ROI) RM4.07 juta.
“Pada tahun lalu pula, TOK 2025 berjaya menarik 544,719 pengunjung dan menjana pendapatan RM8.55 juta selain merekodkan nilai publisiti sebanyak RM460,731.60,” katanya.
Beliau berkata, beberapa elemen baharu turut diperkenalkan termasuk persembahan silat fusion, demonstrasi masakan tradisional oleh sembilan pejabat daerah dan konsep mini pavilion yang lebih interaktif.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Harris berkata, TOK 2026 bukan saja bertujuan untuk melestarikan budaya Kedah, malah membantu memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Temasya ini juga bertindak sebagai platform utama dalam mengekalkan identiti budaya tempatan selain memperkukuhkan seni dan budaya bagi menarik kehadiran pelancong,” katanya.
Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd. Zaidy Omar memaklumkan, pihaknya turut menjalankan kerjasama bersama beberapa pihak bagi menarik kedatangan pelancong luar negara termasuk dari Thailand.
“Pada tahun lalu, kita menerima kedatangan pelancong dari luar negara antaranya Thailand dan Singapura. Tahun ini, usaha promosi itu akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai pelancong hadir ke temasya ini,” katanya. – UTUSAN










