PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menggunakan identiti rasmi agensi itu bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, larangan itu merangkumi penggunaan bagi tujuan promosi, pemasaran, pengiklanan atau aktiviti komersial oleh individu, syarikat mahupun organisasi.
Katanya, PDRM memandang serius penggunaan nama, lambang, imej pegawai polis atau apa-apa identiti rasmi pasukan tanpa kebenaran sewajarnya.
“Identiti rasmi PDRM adalah aset institusi yang perlu dipelihara dan tidak boleh dieksploitasi bagi memperoleh keuntungan atau mewujudkan persepsi yang mengelirukan.
“PDRM ingin menegaskan bahawa kehadiran mana-mana pegawai PDRM dalam sesuatu program tidak boleh ditafsirkan sebagai pengendorsan, sokongan atau pengiktirafan terhadap mana-mana produk, perkhidmatan, pelaburan atau aktiviti komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Khalid berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menganggap sesuatu produk atau perkhidmatan mendapat kelulusan atau sokongan rasmi PDRM hanya berdasarkan pembabitan warga pasukan dalam sesuatu program.
“Mana-mana pihak yang menggunakan identiti rasmi PDRM secara tidak sah atau bagi tujuan yang mengelirukan sehingga mewujudkan persepsi bahawa PDRM mengendors sesuatu produk atau perkhidmatan boleh disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Ia termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tertakluk kepada fakta dan elemen kesalahan yang dapat dibuktikan,” katanya.
Beliau berkata, PDRM kekal komited memelihara integriti, kredibiliti dan identiti rasmi pasukan itu.
Setiap bentuk kerjasama dengan pihak luar akan dilaksanakan secara telus, profesional dan selaras dengan undang-undang bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM, katanya. –UTUSAN










