Tindakan lapan ahli kongres AS biadab - Fahmi

Tindakan lapan ahli kongres AS biadab – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menyuarakan rasa tidak berpuas hati mereka terhadap negara ini yang mahu mengusir segera rakyat Israel disifatkan sebagai biadab.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu juga seolah-olah mereka mahu mencampuri urusan kedaulatan negara ini.

Katanya, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu didapati melanggar peraturan termasuk mengusir mereka.

“Kita tidak akan berdiam dan sudah pasti kita akan sampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan AS. Jangan campuri urusan dalaman termasuk isu imigresen bagi negara Malaysia.

“Negara kita negara yang berdaulat. Sekiranya ada mana-mana pihak, mana-mana individu didapati melanggar syarat-syarat, maka kita mempunyai kuasa, kita mempunyai hak untuk menghalau dan mengusir mereka.

“Jadi, jangan cuba mencampuri urusan dalaman negara kita. Itu bukan satu perkara yang baik dan kita akan pastikan Kedutaan AS mengetahui pendirian ini,” katanya selepas lawatan ke sesi latihan kompang dan permainan gasing, di FELDA Kepis bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd. Hanis Alimin.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pendirian Kerajaan Persekutuan juga amat tegas berkait isu Network School yang mempunyai dakwaan warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan Forest City.

Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini juga berpendirian bahawa negara ini tidak akan berkompromi berhubung isu itu.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga sudah memaklumkan kepada Jemaah Menteri proses siasatan berkait isu itu sedang diperhalusi membabitkan 11 individu yang dipercayai mempunyai dua kerakyatan.

“Bagi Jabatan Imigresen dan juga Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), tidak berlaku apa-apa setakat ini kesalahan yang telah dikenal pasti tetapi siasatan itu diteruskan.

“Sehingga tadi, Menteri Dalam Negeri memaklumkan tidak ada warganegara Israel dikesan dalam kalangan 266 orang yang telah disiasat dan ditemui Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyuarakan tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengusir segera rakyat Israel berada di Malaysia.

Mereka adalah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.

Berdasarkan surat yang dimuat naik Landsman di akaun Facebooknya, Ahli Kongres terbabit menyuarakan kebimbangan yang amat serius terhadap kenyataan Anwar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN