ISKANDAR PUTERI: Timbalan-timbalan exco kerajaan negeri sedia galas tanggungjawab membantu Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi melaksanakan dasar dan polisi yang telah dirangka bagi mencapai agenda Maju Johor 2030.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membantu memastikan pembangunan seimbang di negeri ini.
“Pembangunan dan pelaburan yang masuk ke Johor perlu beri impak kepada semua lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar dan daerah yang jauh dari pusat pertumbuhan utama.
“Ini satu tanggungjawab berat kerana banyak perkara dilakukan bagi mencapai misi Maju Johor 2030. Kita mahu manfaat kepada pelaburan diterima dirasai seluruh rakyat Johor, bukan hanya di Johor Bahru dan kawasan selatan, tetapi hingga ke utara Johor,” katanya selepas majlis pengumuman jawatan timbalan exco, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Chan San San pula berkata, pengalaman mengendalikan pelbagai isu sosial akan dimanfaat sebaiknya dalam memikul tanggungjawab diberi.
“Pengalaman mengurus kes berkaitan keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan kebajikan masyarakat sebelum ini memberi gambaran jelas mengenai cabaran dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya akan gunakan pengalaman ini dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu yang dihadapi masyarakat,” katanya.
Selain itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Nadhirah Afiqah Abdul Rahim memberitahu, dia bersedia mendekati golongan muda pelbagai latar belakang di negeri ini.
“Portfolio ini tidak asing bagi saya kerana di kawasan, saya memang aktif dalam pelbagai program-program belia. Saya akan bekerjasama dengan Mohd. Hairi Mad Shah (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor) untuk pastikan yang terbaik buat golongan muda di negeri ini,” katanya.-UTUSAN










