SEREMBAN: Penjualan tiket pengangkutan awam ke Johor habis dijual menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, sekali gus memberi gambaran lebih ramai pengundi dijangka pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesemua tiket tambahan perkhidmatan pengangkutan awam dari Kuala Lumpur ke Johor serta dari Johor Bahru ke arah utara mendapat sambutan menggalakkan sehingga habis dijual, termasuk perkhidmatan tambahan yang disediakan.
Menurutnya, kebanyakan tiket bas ekspres dan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) juga telah habis dijual, selain terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan bas bagi membawa pulang pengundi.
“Ini memberi petunjuk bahawa ramai pengundi akan pulang ke Johor bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian esok,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pakatan Harapan di Seremban Jaya, di sini, hari ini.
Anthony Loke berkata, terdapat dua corak utama pergerakan pengundi iaitu rakyat Johor yang bekerja di Lembah Klang pulang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), selain pekerja di Singapura yang memasuki negara melalui Johor Bahru sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP itu berkata, berdasarkan perkembangan itu, Pakatan Harapan (PH) juga menyasarkan kadar keluar mengundi melebihi 70 peratus berbanding kira-kira 54 peratus pada pilihan raya lalu.
Katanya, sasaran tersebut diyakini mampu dicapai berikutan tiada lagi sekatan perjalanan seperti ketika pandemik Covid-19 yang menjejaskan kepulangan pengundi, khususnya mereka yang bekerja di Singapura.
“Harapan kita ialah peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus kerana pada pilihan raya lalu hanya sekitar 54 peratus.
“Kali ini tiada lagi kekangan seperti penutupan sempadan. Kita berharap pengundi yang bekerja di Singapura akan pulang dalam jumlah yang besar untuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata, kadar keluar mengundi yang tinggi penting bagi memperkukuh sistem demokrasi serta memastikan kerajaan yang dipilih memperoleh mandat yang lebih kukuh.
“Siapa menang atau kalah hanya akan diketahui selepas keputusan diumumkan. Apa yang lebih penting ialah seramai mungkin pengundi keluar mengundi kerana ia akan mengukuhkan sistem demokrasi dan memberikan mandat yang lebih kukuh kepada kerajaan yang dibentuk,” katanya.
PRN Johor esok bakal menyaksikan hampir 1.3 juta pengundi berdaftar berusia bawah 40 tahun layak mengundi. Daripada jumlah itu, seramai 544,657 merupakan pengundi berusia 21 hingga 29 tahun, manakala 165,386 lagi berusia 18 hingga 20 tahun. – UTUSAN










