PETALING JAYA : Pasangan kekasih antara tiga ditahan polis selepas disyaki mencuri makanan yang dihantar di lobi sebuah residensi, di Kajang.
Tindakan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an terbongkar menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di residensi itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pukul 2.27 pagi, kelmarin berhubung kecurian makanan yang dihantar di lobi sebuah residensi.
Susulan itu, katanya, pihaknya menahan kesemua suspek selain turut merampas sehelai baju berlogo dan bertulisan PDRM (Polis Diraja Malaysia).
“Ketika tangkapan dibuat tiada sebarang makanan dicuri oleh suspek namun rakaman CCTV mendapati perbuatan itu berlaku pada pada beberapa tarikh berlainan.
“Hasil semakan mendapati pasangan tunang berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, masing-masing sebanyak lapan dan enam rekod,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas pasangan tunang itu mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, permohonan tahanan reman terhadap pasangan tunang itu dibenarkan sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Seorang lagi suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 89(a) Akta Polis dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Tambanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Amiruddin Abdul di talian 0132304156 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular rakaman CCTV di media sosial yang memaparkan tindakan beberapa individu dipercayai mencuri makanan yang dihantar di lobi sebuah residensi.-UTUSAN










