Tiga ahli StraComm Clique cemerlang di AKSIS USIM

Tiga ahli StraComm Clique cemerlang di AKSIS USIM

KAKITANGAN dan pelajar USIM bergambar bersama-sama selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Sesi Akademik 2024/2025, di Nilai baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA ahli Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) mencipta kejayaan apabila meraih lima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Sesi Akademik 2024/2025, di Nilai baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM (MPPUSIM) sesi akademik 2024/2025, Haikal Nazhan Hamdan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Tokoh AKSIS dan Anugerah Kepimpinan Siswa.

Bekas Presiden StraComm Clique, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd. Zaini pula menerima Anugerah Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa dan Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa.

Seorang lagi ahli kelab itu, Irdina Syahirah Shamzulnizam menerima Anugerah Tokoh Komuniti Siswa atas penglibatan dan sumbangannya dalam aktiviti kemasyarakatan.

Haikal Nazhan berkata, pengiktirafan tersebut menjadi penghargaan besar selepas melalui pelbagai pengalaman kepimpinan sepanjang berada di kampus.

Pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi itu mendedikasikan kejayaannya kepada ibu serta ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

“Pesanan saya kepada rakan-rakan, terus menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain dan aktif dalam aktiviti kampus.

“Setiap amanah dan program juga perlu diuruskan dengan sebaiknya,” katanya.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu pernah memegang beberapa jawatan termasuk Eksekutif Media dan Komunikasi Korporat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perkasa Siswa.

Beliau juga pernah menjadi USIM RHB Campus Ambassador 2026 dan delegasi USIM ke Global Student Leadership Summit 2026 di Jepun.

Sementara itu, Muhammad Akmal Zuhdi berkata, kemenangan dua anugerah tersebut menjadi bukti segala usaha, pengorbanan dan komitmen sepanjang bergelar mahasiswa akhirnya membuahkan hasil.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan itu berkata, antara pencapaian paling bermakna dalam bidang inovasi adalah penyertaannya dalam Digital Innovation Creative Entrepreneurship 3.0 (DICE 3.0).

 

Katanya, pengalaman sebagai pengarah Gimik 25 Tahun USIM turut memberinya peluang mengetuai gerak kerja kreatif berskala besar di universiti.

Bagi kategori kesukarelaan, Muhammad Akmal Zuhdi terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat di Hasanah Care Centre bagi menyantuni warga emas. Dia turut menyertai misi sukarelawan ketika insiden kebocoran paip gas di Putra Heights.

“Cabaran terbesar adalah membahagikan masa, tetapi akademik tetap menjadi keutamaan walaupun aktif dalam pelbagai program.

“Penglibatan dalam StraComm Clique banyak membantu membangunkan kemahiran teknikal dan insaniah, selain membentuk keyakinan serta kepimpinan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Irdina Syahirah berkata, Anugerah Tokoh Komuniti Siswa itu mengiktiraf usahanya mengimbangi akademik dengan kepimpinan dan khidmat masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, sebanyak 56 pencalonan diterima daripada fakulti, pusat tanggungjawab dan badan pelajar bagi AKSIS tahun ini.
Katanya, sebanyak 13 kategori anugerah dipertandingkan dengan kriteria pemilihan dijajarkan mengikut piawaian Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Penerima anugerah berpeluang membuktikan bahawa mahasiswa berteraskan integrasi ilmu naqli dan aqli mampu berdiri di pentas nasional,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah USIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom pula berkata, kecemerlangan mahasiswa tidak seharusnya terhenti kepada pencapaian akademik semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, kecemerlangan itu perlu diterjemahkan melalui kepimpinan, aktivisme sosial dan sumbangan nyata kepada masyarakat.

“Mahasiswa USIM dituntut menterjemahkan kecemerlangan dalam bentuk sumbangan kepada komuniti dan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan AKSIS USIM 2024/2025 di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, di sini.

Pada majlis sama, USIM turut melancarkan Kempen 1 Ringgit, 1 Alumni melalui Pusat Kerjaya dan Alumni bagi membudayakan sumbangan berterusan dalam kalangan alumni.

Dana kempen itu akan disalurkan melalui Tabwung BUDI Alumni USIM bagi menyokong kebajikan pelajar, program infak dan pembangunan universiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN