‘Tidak wajar tuduh saya derhaka’

‘Tidak wajar tuduh saya derhaka’

JALALUDDIN Alias pada Majlis Sepetang Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Putra, Jelebu hari ini-UTUSAN/FATIN NORIZATI MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mempersoalkan tuduhan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melabelkan tindakannya menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai penderhakaan.

Jalaluddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, tindakan beliau bersama beberapa pihak sebelum ini hanya melibatkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, bukannya penderhakaan terhadap mana-mana pihak.

Katanya, tuduhan yang dilemparkan beberapa pemimpin PH itu tidak masuk akal kerana penderhakaan tidak boleh dikaitkan dengan tindakan menarik sokongan kepada seorang pemimpin kerajaan.

“Ada pemimpin daripada PH cakap bahawa saya derhaka. Saya tarik sokongan daripada Menteri Besar, derhaka kepada siapa?

“Derhaka kepada Menteri Besar tidak boleh diistilahkan sebagai derhaka. Derhaka ini kepada Raja, kepada Undang. Saya hanya tarik sokongan kepada Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bahagian Jelebu di Felda Pasoh 4 hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, isu berkenaan perlu difahami rakyat dan meminta pemimpin PH supaya tidak memutar belit perkara tersebut.

“Jangan (putar belit) dan saya beritahu berkali-kali, jangan tanam perasaan benci kepada rakyat atas sesuatu kelemahan yang kita buat.

“Kita buat sakit, kita buat demam, selepas itu kita salahkan orang kerana orang itu demam, kerana orang itu sakit. Zaman sudah berubah dan rakyat sudah matang,” katanya.

Mengulas mengenai insiden beliau ‘diboo’ dan disorak penyokong PH ketika penamaan calon semalam, Jalaluddin turut mempersoalkan tindakan berkenaan.

“Semalam ketika pengumuman di Jelebu, apabila hendak mengumumkan calon PH, saya tepuk. Kenapa saya tepuk? Adakah saya menyokong calon PH? Tidak.

“Saya menghargai dan mengiktiraf kebebasan pilihan raya serta hak sesuatu parti untuk bertanding.

“Tetapi apabila diumumkan nama saya sebagai calon Pertang, mereka ‘boo’ dan sorakkan saya. Adakah ini perangai dan mentaliti rakyat pada zaman sekarang?

“Jadi, sendiri hendak ingatlah. Bagaimanapun, bagus juga begitu. Rakyat boleh fikir yang mana boleh diundi dan yang mana tidak boleh diundi,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN