CYBERJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana menteri, timbalan menteri atau pengerusi badan berkanun meletakkan jawatan susulan dakwaan menyerang ‘rakan’ dalam Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kuasa menentukan kedudukan mereka terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pelantikan pemegang jawatan berkenaan merupakan hak mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebarang tindakan hanya boleh diputuskan oleh Perdana Menteri berdasarkan maklumat yang diperoleh beliau.
“Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri. Jadi kalau Perdana Menteri mengesyaki ataupun dapat maklumat yang benar, itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan tak perlu sesiapa pun meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen Tahun 2026, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Perdana Menteri supaya mana-mana menteri, timbalan menteri atau pengerusi badan berkanun yang menyerang sesama rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) melepaskan jawatan masing-masing.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, perkara (kuasa melantik dan memecat) tersebut merupakan prerogatif Perdana Menteri.
Terdahulu, Anwar dilaporkan mengingatkan semua anggota pentadbiran kerajaan dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan agar tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang parti atau pemimpin yang menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan terutama dalam kempen PRN Negeri Sembilan.
Menurut Perdana Menteri, mana-mana pihak yang memilih untuk berbuat demikian sewajarnya bersedia untuk melepaskan jawatan kerana tindakan itu bercanggah dengan semangat kerjasama yang dipersetujui dalam kerajaan. – UTUSAN










