Tiada pihak kebal dalam siasatan RCI TH

Tiada pihak kebal dalam siasatan RCI TH

AHMAD Zahid Hamidi ketika menyantuni warga ATM ketika menghadiri Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tiada mana-mana individu kebal daripada tindakan undang-undang sekiranya nama mereka didapati terbabit dalam sebarang salah laku laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH). 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala dapatan RCI perlu didedahkan secara telus sebelum sebarang tindakan lanjut diambil mengikut lunas perundangan.

“Tidak ada kekebalan kerana RCI ialah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menjalankan siasatan dan dapatan daripada siasatan serta kajian itu perlu diketahui secara telus.

“Selepas itu, jika terdapat sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pecah amanah atau amalan tidak wajar lain, ada proses untuk membuat laporan polis dan menjalankan siasatan dari aspek jenayah, jenayah perdagangan serta perundangan lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia mendedahkan laporan RCI TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Anwar Ibrahim yakin Jemaah Menteri akan meluluskan cadangan mendedahkan kepada umum laporan RCI selepas ia dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyokong laporan RCI itu didedah kepada umum, namun ia tidak patut dijadikan bahan politik berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Katanya, isu tersebut perlu dilihat daripada segi sudut profesional dan sebarang laporan pengauditan serta laporan siasatan mesti menjurus ke arah mencari jalan penyelesaian, bukan mengeruhkan keadaan.

Menurutnya, keyakinan pendeposit terhadap TH kini dilihat semakin meningkat serta tidak perlu dirosakkan hanya disebabkan tafsiran yang tidak tepat terhadap dapatan RCI.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin pembentangan laporan RCI ketika tempoh kempen PRN tidak menjejaskan keputusan rakyat. 

Katanya, pengundi di Negeri Sembilan cukup matang untuk menentukan gabungan yang layak diberi mandat berdasarkan prestasi dan rekod pentadbiran.

“Saya tidak fikir ia akan memberi pengaruh. Saya tahu tujuannya adalah untuk melemparkan kebencian dan mewujudkan ketidakpercayaan terhadap sesebuah gabungan.

“Namun, rakyat terutama pengundi di Negeri Sembilan sangat bijak membuat penilaian. Di minda dan hati mereka, mereka tahu calon serta gabungan yang akan dipilih. Kalau ada niat yang tidak baik, saya harap niat itu akan dibolak-balikkan oleh Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan belum pernah mengadakan sebarang perbincangan mengenai kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) lebih awal 

Katanya, sebarang keputusan mengenai pembubaran Parlimen bergantung kepada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil kira pandangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya belum pernah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri kerana dalam Kerajaan Perpaduan terdapat 18 parti dengan sekurang-kurangnya lima gabungan.

“Pada hemat saya, jika geopolitik berubah, tentunya tarikh tamat sesuatu tempoh penggal Parlimen itu akan diambil kira oleh Perdana Menteri selaku Ketua Majlis kepada Parlimen Malaysia untuk mengadakan rundingan dengan kami.

“Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada pembubaran Parlimen boleh dilakukan lebih awal atau sebaliknya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN