Tiada lagi penangguhan kenaikan tarif air Pulau Pinang

Tiada lagi penangguhan kenaikan tarif air Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (tengah) mengadakan siri Jelajah Ketua Menteri ke beberapa kawasan di DUN Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang semalam.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kerajaan ne­geri tidak akan mempertimbangkan sebarang penangguhan lanjutan terhadap kenaikan tarif air di Pulau Pinang selepas pelaksanaannya sebelum ini telah ditangguhkan untuk tempoh kira-kira satu tahun.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau sudah memberi penjelasan lanjut mengenai perkara itu terma­suk kepada Exco yang berkaitan ketika ia dibangkitkan pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN), Mei lalu.

Kon Yeow berkata, tarif air baharu itu telah diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Perkhid­matan Air Negara (SPAN) pada 30 Julai tahun lepas dengan beberapa negeri juga sudah pun melaksanakan kadar yang disemak semula itu.

“Pulau Pinang sebenarnya boleh menguatkuasakan tarif baharu itu pada 1 Ogos tahun lalu, tetapi, kita memilih untuk menangguhkannya sehingga 1 Julai (tahun ini).

“Jadi, kalau kita ambil kira dari tempoh ini, maka, sudah dekat satu tahunlah kita tangguhkan. Takkan kita nak tangguh lagi?” soal beliau ketika ditemui pemberita semasa mengadakan siri Jelajah Ketua Menteri ke beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam di sini, semalam.

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan terbaharu daripada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan tarif air sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu itu untuk tempoh setahun lagi.

Guan Eng dipetik sebagai berkata, penangguhan itu perlu kerana rakyat masih bimbang dengan pelaksanaan kadar baharu yang menyaksikan peningkatan daripada kadar purata semasa kepada 62 sen bagi setiap meter padu yang digunakan.

Sementara itu, kata Kon Yeow, pelaksanaan tarif baharu itu penting bagi memastikan operator air negeri mempunyai kemampuan ke­wangan untuk membiayai pelbagai projek dalam usaha memperkukuhkan jaminan bekalan air di Pulau Pinang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN