JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, berkata jenteranya tetap berkempen dengan baik walaupun tiada bantuan jentera Pas.
Lim Chin Eng, 73, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang berkata, pihaknya menggerakkan seramai 30 jentera untuk menyantuni seramai mungkin pengundi berbilang kaum di kawasan tersebut dalam tempoh dua minggu ini.
“Jentera daripada Pas tidak nampak walau seorang pun yang hadir membantu, tetapi ia tidak menghalang kami untuk terus mendekati seramai mungkin pengundi di sini untuk memaklumkan tawaran kami kepada mereka, iaitu wakil rakyat yang akan mengangkat suara akar umbi ke peringkat negeri, dan lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Ketua Bersekutu Bersatu Bahagian Johor Bahru itu menggunakan pengalaman sebagai Ahli Majlis dalam mendekati pelbagai lapisan masyarakat. – UTUSAN








