Tiada arahan tarik sokongan kerajaan negeri Perak - Exco PH - Utusan Malaysia

Tiada arahan tarik sokongan kerajaan negeri Perak – Exco PH

MOHD. Azlan Helmi (kanan) meninjau kawasan khas untuk menurun dan mengambil penumpang secara pandu lalu di Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah, Malim Nawar di Kampar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Tiada arahan daripada Pakatan Harapan (PH) untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Perak atau meletak jawatan sebagai exco kerana tindakan itu boleh menggugat kestabilan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd. Azlan Helmi dari PKR berkata, beliau optimis dan fokus menjalankan tugasan sedia ada untuk kemajuan dan kesejahteraan negeri.

“Setakat ini seperti mana yang disebut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semalam, kami (Exco PH) masih optimis dan fokus terhadap apa juga tugasan bagi pihak negeri ini.

“Kita tiada menerima apa-apa arahan daripada pihak PH. Kita bekerjasama dengan baik selama ini, dalam empat tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika meninjau projek ‘drop off’ iaitu kawasan khas untuk menurun dan mengambil penumpang secara pandu lalu berhampiran Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah (SKTS), Malim Nawar di sini.

Katanya, hubungan dengan Menteri Besar yang sangat rapat dan mesra menggambarkan tiada masalah melibatkan kerjasama Kerajaaan Perpaduan di Perak.

“Namun, perkembangan ke depan itu, kita menunggulah pihak pimpinan untuk putuskan, tetapi saya sebagai Exco, akan meneruskan usaha seperti mana yang digagaskan oleh Menteri Besar untuk menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030.

“Keutamaan kami adalah perkembangan, kemajuan, kesejahteraan negeri Perak. Itu fokus utama dan tentang negeri-negeri lain itu saya tidak mahu komen,” katanya.

Semalam Saarani berkata, BN dan PH negeri akan terus berfungsi sebagai Kerajaan Perpaduan sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau mengulas keputusan DAP Melaka yang mengumumkan keluar daripada pentadbiran kerajaan Melaka selain melepaskan semua jawatan yang disandang dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN