Thailand sasar perjalanan lebih pantas dari Malaysia ke China

Thailand sasar perjalanan lebih pantas dari Malaysia ke China

ANWAR Ibrahim bersama Anutin Charnvirakul pada Majlis Pembukaan Laluan Baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Bukit Kayu Hitam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Thailand akan melengkapkan semua rangkaian pengangkutan yang masih belum bersambung bagi memastikan rakyat dan barangan dari Malaysia dapat sampai ke utara Thailand, China serta destinasi lain dalam tempoh yang lebih singkat.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, komitmen berkenaan bagi memperkukuh hubungan logistik serantau yang lebih efisien sama ada melalui laluan darat atau laut.

“Saya telah mengesahkan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, Thailand akan melengkapkan semua rangkaian yang belum bersambung bagi memastikan pada masa hadapan rakyat, barangan dan apa sahaja dari Malaysia dapat sampai ke bahagian utara Thailand, malah seterusnya ke China dan mungkin juga ke Rusia dalam tempoh paling singkat.

“Begitu juga sebaliknya, barangan dari Thailand atau China akan dapat melalui sempadan Thailand-Malaysia untuk ke Singapura dan Indonesia dalam tempoh yang lebih cepat dan efisien,” katanya pada Majlis Pembukaan Laluan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi kedua-dua negara.

Sementara itu, Anutin berkata, laluan baharu itu akan memudahkan pergerakan rakyat dan pengangkutan barangan antara kedua-dua negara, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan sempadan yang merupakan antara laluan paling sibuk di rantau ini.

“Jalan baharu ini adalah hasil usaha bersama kedua-dua negara. Ia akan memudahkan perjalanan rentas sempadan dan pergerakan barangan, di samping mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut membincangkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh lagi hubungan dan kesalinghubungan bukan sahaja antara Songkhla dan Kedah, malah melibatkan Satun dan Perlis serta Narathiwat dan Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Thailand juga akan memperluas dan memperkukuh rangkaian grid elektrik bagi memastikan kedua-dua negara sentiasa mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi tanpa perlu bimbang terhadap sebarang kemungkinan gangguan.

Menyentuh soal keamanan di kawasan sempadan, beliau berkata, ia merupakan agenda penting yang turut dipersetujui bersama Anwar dengan kedua-dua mereka telah berikrar untuk berusaha sedaya upaya mewujudkan keamanan berkekalan di kawasan sempadan sepanjang tempoh pentadbiran masing-masing.

“Hanya tinggal satu perkara terakhir, iaitu usaha mewujudkan keamanan. Dalam perbincangan peribadi kita, kita telah berjanji antara satu sama lain bahawa kedua-dua pentadbiran kita akan berusaha sedaya upaya untuk membawa keamanan ke kawasan sempadan kita dalam tempoh pentadbiran ini.

“Kita tidak boleh sekadar mengatakan bahawa ia mungkin boleh dicapai. Sebaliknya, kita mesti menyatakan bahawa kita akan menjayakannya, dan ia pasti akan menjadi kenyataan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN