PUTRAJAYA: Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah perlu diberi perhatian khusus dalam usaha kerajaan mempercepatkan proses kenaikan pangkat penjawat awam.
Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Raja Mazelan Raja Deraman berkata, satu penelitian menyeluruh terhadap struktur perjawatan, laluan kerjaya serta mekanisme kenaikan pangkat Pegawai Syariah wajar dilaksanakan.
Katanya, ini bagi memastikan peluang kemajuan kerjaya yang lebih adil, munasabah dan seiring dengan tanggungjawab besar yang dipikul oleh Pegawai Syariah dalam menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang syariah.
Jelasnya, perhatian juga wajar diberikan kepada pelaksanaan dasar pindah butiran (redeployment) atau tukar ganti (trade-off) dalam pewujudan jawatan kenaikan pangkat.
Katanya, walaupun pendekatan ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada tanpa melibatkan implikasi kewangan atau pertambahan perjawatan, pelaksanaannya pada masa ini turut menjadi antara faktor yang mengehadkan inisiatif penstrukturan semula organisasi serta pelaksanaan modul perjawatan yang telah diluluskan.
“Keadaan ini secara tidak langsung mengehadkan manfaat yang dihasratkan melalui kelulusan modul perjawatan tersebut, sekali gus memperlahankan pelaksanaan laluan kemajuan kerjaya yang telah dirancang.
“Mewakili skim Perkhidmatan Pegawai Syariah, PPSM ingin menzahirkan kebimbangan bahawa kesan daripada kekangan tersebut turut dirasai dalam perkembangan kerjaya Pegawai Syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raja Mazelan, terdapat Pegawai Syariah yang kekal berada pada gred yang sama sehingga lima belas tahun tanpa peluang kenaikan ke gred yang lebih tinggi, iaitu jauh melebihi tempoh lapan tahun yang dimaklumkan kepada Perdana Menteri.
Katanya, hakikat ini bukan sahaja mencerminkan kelewatan perkembangan kerjaya, bahkan merupakan isu kebajikan dan pengiktirafan terhadap sumbangan golongan profesional yang menjadi tunjang kepada pentadbiran kehakiman dan perundangan syariah negara.
“Keadaan ini turut mewujudkan fenomena stagnasi kerjaya yang tidak selari dengan prinsip pengurusan bakat sektor awam serta boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk menarik, membangun dan mengekalkan pegawai-pegawai berkualiti dalam Perkhidmatan Pegawai Syariah,” katanya.
Selain itu, kata beliau, usaha kerajaan menambah baik kebajikan sektor kehakiman juga wajar dilaksanakan secara menyeluruh.
Katanya, kenaikan pendapatan Hakim-Hakim Mahkamah Sivil yang telah diumumkan wajar turut diseimbangkan dengan pertimbangan yang munasabah terhadap kebajikan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah.
“Langkah ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk terus memperkasa institusi kehakiman syariah sebagai salah satu komponen penting dalam sistem perundangan negara.
“Pengiktirafan yang setimpal terhadap peranan, tanggungjawab dan kedudukan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah diyakini akan terus memperkukuh integriti, profesionalisme serta kewibawaan institusi kehakiman syariah,” katanya. – UTUSAN










