PUTRAJAYA: Dalam nada bersahaja namun tersirat, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais sempat ‘mengusik’ Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung masa depannya dengan penyanyi, Bella.
Tanpa menyatakan secara terang-terangan, Hakim Abu Bakar seolah-olah memberikan dorongan kepada Syed Saddiq untuk memulakan kerja-kerja kahwinnya.
“Walaupun kami hakim, kami juga manusia biasa. Kami juga mengikuti perkembangan di sekeliling kami. Kami perhati (dan) kami tahu responden ada perancangan apa nak dilakukan selepas ini, kami tahu itu.
“Setelah anda mengetahui keputusan majoriti memihak kepada anda sekarang, harap-harap perancangan itu dapat dibuat,” kata hakim itu.
Walaupun tidak menyebut secara khusus ‘perancangan’ yang dimaksudkan, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada hasrat Syed Saddiq untuk mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.
Tarikh perkahwinan pasangan itu masih menjadi tanda tanya selepas Ahli Parlimen Muar itu sebelum ini dilaporkan mahu memberi tumpuan kepada keputusan rayuan kes itu.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Dalam pada itu, Hakim Abu Bakar turut mengambil kesempatan menjelaskan penangguhan sebelum ini yang berlaku susulan masalah kesihatan salah seorang hakim yang bersidang dalam panel berkenaan.
“Saya ingin beritahu walaupun kami hakim, kami juga manusia biasa, kami sihat, kami tidak sihat, perkara itu berlaku.
“Jadi bila ada hakim yang tidak sihat, kes itu terpaksa ditangguhkan, ia bukan sesuatu yang belum pernah berlaku. Saya berharap semua pihak dapat menerima perkara itu,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan pecah amanah, salah guna dana Armada dan pengubahan wang haram.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq bersalah terhadap empat pertuduhan iaitu bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana pertubuhan itu berjumlah RM1 juta.
Menerusi penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya ‘tidak masuk akal’.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun denda RM 10 juta itu bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan hukuman. – UTUSAN










