PETALING JAYA: Kementerian Ekonomi mengumumkan pelantikan Syamsul Farizz Nadzeri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Beliau menggantikan Datuk Baidzawi Che Mat yang mula menerajui ECERDC pada Mac 2019.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kepimpinan baharu ECERDC akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pemangkin, pemudahcaraan pelaburan berkualiti serta pengukuhan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor swasta.
Menurutnya, pelantikan itu bertepatan dengan permulaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur 2026-2030 yang akan memandu pembangunan wilayah secara lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.
“Pelantikan tersebut dibuat pada fasa penting pelaksanaan agenda pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Keutamaan kita ialah memastikan pelaburan dan projek yang dirancang diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat dan perusahaan tempatan.
“Pengalaman Syamsul Farizz dalam pelaburan, infrastruktur dan pengurusan projek berskala besar diyakini dapat memperkukuh keupayaan ECERDC untuk melaksanakan mandat ini dengan berkesan dan berorientasikan hasil,” katanya dalam kenyataan.
Akmal berkata, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Syamsul Farizz akan menerajui usaha memudah cara pelaburan, pelaksanaan projek pembangunan pemangkin dan program sosioekonomi di seluruh Pantai Timur.
“Beliau mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam sektor hartanah, infrastruktur dan pelaburan termasuk dalam bidang tadbir urus korporat, strategi komersial, pengurusan pelaburan dan pelaksanaan projek kompleks,” katanya.
Sebelum menyertai ECERDC, beliau berkata, Syamsul juga pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Pelaburan Hartanah Berhad dan PROLINTAS selain pernah berkhidmat di Prasarana Malaysia Berhad, Bombardier Transportation dan Scomi Group Berhad.
“Beliau juga mempunyai pengalaman penugasan antarabangsa di Arab Saudi dan India.
“Syamsul merupakan seorang Project Management Professional dan ahli Royal Institution of Chartered Surveyors yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Lancaster University, United Kingdom serta Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya. – UTUSAN










