PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat berkongsi gelagat suaminya, Nabil Mahir yang disifatkannya sangat gemar melayan serta menjaga kanak-kanak.
Ayda atau Nur Suhada Jebat, 34, berkata, sifat penyayang suaminya itu tidak hanya terhad kepada anaknya sendiri, malah Nabil turut melayan anak-anak kenalan rapat mereka seperti darah daging sendiri.
Menurut Ayda, disebabkan layanan mesra yang diberikan oleh Nabil, terdapat segelintir anak rakan mereka yang menjadi terlalu rapat sehingga enggan pulang ke rumah masing-masing.
“Suami saya ini memang sangat suka menjaga kanak-kanak, bukan sahaja anak sendiri tetapi anak orang lain juga sudah dianggap seperti anak dia. Saya sendiri penat apabila melihat dia berlari-lari bersama budak-budak dan tidak tahu dari mana dia mendapat tenaga tersebut.
“Anak-anak kawan kami pun sampai tidak mahu pulang ke rumah mereka. Ibu bapa budak tersebut sampai meminta agar menukarkan sahaja nama bapa mereka kepada Ahmad Nabil,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Bagaimanapun, Ayda sempat berseloroh meminta suaminya itu bersabar dan tidak terburu-buru mahu menambah cahaya mata dalam masa terdekat.
“Satu sahaja, tolong bersabar mahu tambah anak. Saya masih trauma jahitan terbuka,” katanya.
Untuk rekod, Ayda Jebat telah mendirikan rumah tangga dengan pengacara Ahmad Nabil Ahmad Mahir pada 1 Januari 2021.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan selebriti popular ini telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ana Nayla dan Areesh Mateen.










