SEREMBAN: Stesen Kereta Api Seremban baharu dijangka dapat menampung sehingga 120,000 penumpang sehari, sekali gus memenuhi keperluan peningkatan penggunaan pengangkutan awam bagi tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun kapasiti awal stesen itu dianggarkan sekitar 30,000 penumpang sehari, reka bentuknya telah mengambil kira keperluan peluasan pada masa depan menerusi penyediaan enam platform.
Katanya, tiga platform akan dibina pada fasa pertama manakala tiga lagi akan ditambah mengikut keperluan apabila jumlah penumpang semakin meningkat.
“Stesen ini direka bentuk untuk menampung sehingga 120,000 penumpang sehari pada masa hadapan. Apabila projek landasan berkembar dan stesen baharu siap, kekerapan perkhidmatan komuter serta perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dapat ditingkatkan.
“Strategi kita adalah menggalakkan lebih ramai penduduk Seremban menggunakan perkhidmatan rel untuk berulang-alik ke Lembah Klang,” katanya semasa sidang akhbar selepas program Lawatan Kerja dan Sesi Taklimat Projek Stesen Keretapi Seremban di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, stesen baharu itu akan dikenali sebagai Stesn Seremban Sentral yang menggabungkan elemen moden dengan seni bina berinspirasikan Minangkabau selain mengutamakan konsep bangunan hijau.
Katanya, stesen berkenaan turut dilengkapi ruang komersial baharu serta dua laluan masuk lengkap dengan kawasan menurunkan penumpang (drop-off) di bahagian hadapan dan belakang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Apabila stesen ini siap tahun depan, penumpang akan mempunyai dua laluan masuk iaitu melalui Jalan Tuanku Antah seperti sedia ada dan satu lagi di bahagian belakang stesen.
“Kedua-dua laluan itu akan dilengkapi kawasan menurunkan penumpang sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kemudahan di bahagian belakang stesen juga memudahkan penumpang kerana mereka tidak perlu berdepan kesesakan di jalan utama untuk ke platform,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, kementerian akan melaksanakan kerja tambahan membina sistem pembentungan baharu bagi mengalihkan aliran air hujan terus ke Sungai Temiang susulan kejadian banjir kilat yang melanda kawasan stesen itu baru-baru ini.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan stesen baharu itu tidak berdepan masalah banjir apabila mula beroperasi kelak.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) kini telah melepasi 55 peratus dengan kerja-kerja mencabar berjaya diselesaikan.
Menurutnya, pada peringkat awal pelaksanaan projek, kemajuan pembinaan bergerak perlahan berikutan kerja cerucuk serta pemindahan pelbagai kabel dan utiliti bawah tanah di kawasan stesen yang masih beroperasi.
“Selepas kerja-kerja paling mencabar selesai, kemajuan projek akan menjadi lebih pantas menerusi pemasangan bumbung, struktur kaca dan kerja-kerja kemasan lain. KVDT 2 secara keseluruhannya dijangka siap pada 2028,” katanya.
Beliau berkata, bagi mempercepatkan pelaksanaan projek itu, satu daripada landasan terpaksa ditutup sementara sehingga menyebabkan kekerapan perkhidmatan komuter pada waktu tengah hari dikurangkan. – UTUSAN










