PUTRAJAYA: Proses siasatan berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor telah dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan ketika ditemui selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan kes itu telah diterima badan berkenaan sebaik diputuskan oleh Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM).
“Saya amat berpuas hati dengan perkembangan itu selepas beberapa bulan menanti mengenai status siasatan kes itu.
“Saya melihat maklum balas yang diberikan hari ini agak positif. Mereka memaklumkan siasatan masih berjalan dan saya hanya perlu menunggu perkembangan seterusnya.
“Sepanjang tempoh siasatan, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menghadiri setiap sesi perjumpaan serta mengemukakan semua dokumen dan maklumat yang diminta pegawai penyiasat,” katanya.
Katanya, kehadirannya ke ibu pejabat SPRM hari ini bukan bertujuan memberi tekanan kepada mana-mana pihak, sebaliknya mendapatkan perkembangan terkini berhubung siasatan yang sudah hampir tiga bulan dijalankan.
Jeyenderan berkata, pihaknya menghormati SPRM dan proses siasatan yang sedang dijalankan badan itu.
Awal Jun lalu, media melaporkan kebimbangan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) terhadap dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum yang didakwa boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah laku.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim, dilaporkan berkata, SPRM wajar memberi perhatian segera terhadap dakwaan itu sekiranya terdapat unsur rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen. – UTUSAN










