GUA MUSANG: Tindakan dua pemandu sebuah bas ekspres menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 30.36 gram di belakang tempat duduk ketika kenderaan yang mereka naiki berhenti di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang di sini terkongkar selepas ditahan polis kelmarin.
Kedua-dua lelaki berusia 39 dan 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menjalankan operasi di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan di dalam bas ekspres itu menjumpai dadah jenis syabu seberat 30.36 gram yang disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu.
Katanya, beberapa barangan lain dengan nilai keseluruhan RM2,500 yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu turut dirampas.
“Ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN









