Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar Selatan (SKPBS), Kuala Perlis menjuarai Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) 2026 yang diadakan di Stadium Hoki, Kangar baru-baru ini.
SKPBS merupakan juara bertahan bagi kategori Perempuan bawah umur 12 tahun untuk dua tahun berturut-turut. Jurulatih hoki sekolah, Ahmad Shukor melahirkan kesyukuran kerana rezeki anak didiknya menjuarainya dengan penuh bergaya.
Pada perlawanan akhir tersebut, SKPBS membelasah SK Kuala Perlis dengan jaringan 5-0 dalam perlawanan yang berat sebelah.
Menurut Guru Besar SKPBS Ridzuan Kamis, Program Pembangunan Sukan Hoki sejak dua tahun lalu menampakkan hasil apabila sekolahnya muncul juara pada 2025 dan 2026. Bakat murid-murid dalam permainan hoki dapat diserlahkan sehingga menggondol juara.
Pada awalnya, murid-murid tiada langsung kemahiran dan pengetahuan dalam permainan hoki tetapi menunjukkan impak apabila rata-rata pemain dapat menguasai kemahiran setelah mengikuti Program Pembangunan Hoki.
Kejayaan ini juga berkat sokongan semua guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan semua waris yang memberikan komitmen berterusan demi kejayaan anak-anak.-UTUSAN










