KUALA LUMPUR: Kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas konsert M.N47IR CIPTA 4 nyata mencuri perhatian apabila dia tampil secara spontan memenuhi pelawaan Datuk M. Nasir untuk berduet, malam tadi.
Pada asalnya, Siti hadir sebagai penonton bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Namun, suasana bertukar gamat apabila M. Nasir secara berseloroh mengundang penyanyi tersohor itu menyertainya di atas pentas.
“Orang kata ada yang datang ke konsert ini boleh bernyanyi. Kalau Siti Nurhaliza mahu bernyanyi, silakan,” seloroh M. Nasir.
Pelawaan itu disambut Siti yang kemudiannya berjalan ke pentas, sekali gus menerima sorakan gemuruh daripada ribuan penonton.
Menurut Siti, kesediaannya membuat persembahan secara spontan itu merupakan hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahiran penyanyi dan komposer yang disifatkannya sebagai seorang legenda yang amat dihormati.
“Demi seorang legenda yang saya hormati pada hari lahirnya, saya sudi untuk bernyanyi. Saya cubalah walaupun tiada earpiece. Ini antara karya terbaik yang pernah saya nyanyikan.
“Semoga suatu hari nanti kita dapat mengadakan konsert bersama-sama,” katanya sebelum mendendangkan lagu Bagaikan Sakti secara duet bersama M. Nasir.
Selain Siti, penyanyi, Ziana Zain turut membuat penampilan mengejut apabila menyanyikan lagu Halaman Asmara selepas dipelawa M. Nasir.
Konsert yang diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran M. Nasir itu turut dimeriahkan dengan persembahan Awie, Devokalis dan Melly Goeslaw.

Mengakhiri konsert, M. Nasir meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua yang hadir meraikan hari istimewanya.
“Terima kasih. Saya tidak tahu bagaimana hendak membalas segala yang anda lakukan untuk saya hari ini.
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana membawa saya hingga ke tahap ini. Saya harap ini bukan yang terakhir dan semoga saya terus dapat menghiburkan anda semua.
“Terima kasih kerana sanggup meninggalkan keselesaan di rumah dan meluangkan masa bersama ‘pak cik’ meraikan hari lahir,” katanya sambil disambut gelak tawa penonton.
Dalam majlis sama, M. Nasir turut memotong pulut kuning seberat 20 kilogram bersama isterinya, Marlia Musa, serta beberapa rakan artis yang hadir, antaranya Marsha Milan Londoh, Sherry Alhadad, Elyana, Mawi dan Awie. -UTUSAN










