SUBANG JAYA: Sindiket perjudian dalam talian yang membangunkan aplikasi sendiri bagi urusan pertaruhan Piala Dunia FIFA 2026 tumpas selepas seramai 161 individu ditahan menerusi Op SOGA XI yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi khas itu menyasarkan individu dan syarikat yang mempromosi pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 serta perjudian dalam talian untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Katanya, serbuan yang dilakukan pada 16 Julai itu melibatkan 19 premis perniagaan serta kediaman di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pasukan JSJ berkaitan.
“Modus operandi sindiket berkenaan adalah membangunkan aplikasi sendiri sebelum mempromosikannya kepada pengguna seluruh dunia untuk membuat pertaruhan bola sepak dan aktiviti perjudian lain secara dalam talian.
“Kumpulan itu beroperasi menerusi beberapa syarikat termasuk syarikat berkaitan komputer, namun aktiviti sebenar di sebaliknya adalah perjudian haram,” katanya dalam sidang akhbar Pengarah JSJ di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Subang Jaya hari ini.
Tambah Kumar, lima lelaki tempatan yang merupakan pemilik saham dan berperanan sebagai pengarah syarikat berumur antara 34 hingga 45 tahun terbabit turut ditahan dan dipercayai antara individu yang mengawal operasi sindiket tersebut.
Katanya, 161 individu yang ditahan terdiri daripada 106 lelaki dan 55 wanita termasuk enam warga asing berusia antara 19 hingga 62 tahun.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan sindiket termasuk 182 komputer riba, 137 laptop dan 152 telefon bimbit bagi tujuan siasatan lanjut.
“Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah wang tunai berjumlah RM199,006.19 serta nilai pertaruhan sebanyak RM35,148,815.88.
“Analisis awal mendapati nilai pertaruhan yang dikendalikan sindiket berkenaan mencecah RM27.37 juta manakala 14 kertas siasatan dibuka melibatkan Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Pertaruhan 1953 dan Kanun Keseksaan berkaitan pakatan jenayah bagi melengkapkan siasatan terhadap kumpulan berkenaan.
Katanya, sanjang Op SOGA XI bermula 11 Jun hingga 20 Julai lalu, sebanyak 649 serbuan dilakukan dengan 945 suspek ditahan di seluruh negara.
“Dalam tempoh operasi sama, polis turut mengesan 637 laman sesawang, platform dan aplikasi yang digunakan untuk mempromosi aktiviti perjudian secara berterusan.
“Pihak polis menegaskan tindakan membanteras perjudian dalam talian akan diteruskan menerusi penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan demi memastikan kegiatan itu tidak terus berleluasa,” katanya.-UTUSAN










