Sidang DUN: RM3.77 juta bangunkan Kenyir Geopark

Sidang DUN: RM3.77 juta bangunkan Kenyir Geopark

RAZALI IDRIS 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM3.775 juta bagi memperkasa pembangunan Kenyir Geopark sepanjang tempoh 2024 hingga 2026 sebagai persediaan ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark, di samping memastikan kawasan itu terus diurus secara lestari.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peruntukan yang disalurkan kepada Pejabat Daerah Hulu Terengganu itu digunakan bagi melaksanakan pelbagai projek termasuk pemuliharaan geowarisan, pembangunan produk geopelancongan, penyediaan kemudahan, program pendidikan serta pembangunan kapasiti komuniti setempat.

Beliau berkata, Kenyir Geopark yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan Malaysia pada 30 Mei 2023 adalah geopark kebangsaan kesembilan di negara ini, meliputi kawasan seluas kira-kira 244,900 hektar di Hulu Terengganu yang kaya dengan warisan geologi, biodiversiti, budaya dan geoarkeologi.

Katanya, sehingga kini Kenyir Geopark mempunyai 15 geotapak, 10 biotapak, 11 tapak budaya dan satu tapak geoarkeologi yang menjadi aset penting negeri serta mempunyai nilai saintifik, pendidikan dan pelancongan.

“Kerajaan negeri telah memulakan pembangunan Kenyir Geopark sejak 2015 di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

“Selepas memperoleh pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan, tumpuan kini diberikan kepada usaha memperkukuhkan tadbir urus geopark, memelihara warisan geologi dan biodiversiti, membangunkan geopelancongan secara mampan serta meningkatkan penglibatan komuniti setempat,”katanya ketika menjawab soalan lisan Hilmi Harun ( Pas – Manir ) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan, mengenai ukuran kejayaan pembangunan Kenyir Geopark, Razali berkata, peningkatan jumlah pengunjung ke Tasik Kenyir daripada 218,157 orang pada 2023 kepada 454,765 orang pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 108.5 peratus dalam tempoh dua tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN