KOTA BHARU: Kerajaan negeri menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan berlangsung esok bagi memuktamadkan penyediaan pindaan terhadap 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 (EKJS) sebelum ia dibentangkan.
Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, persidangan itu kini dijadual berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos ini.
“Pihak kerajaan minta penangguhan. Antara sebab sidang ditangguhkan adalah untuk memuktamadkan EKJS,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengikut jadual asal, persidangan DUN Kelantan akan bermula esok sehingga Khamis ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan akan membawa semula pindaan terhadap 16 seksyen EKJS yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan tahun lalu untuk diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, cadangan pindaan terhadap semua 16 seksyen berkenaan telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kini hanya menunggu dibentangkan di DUN.-UTUSAN










