GEORGE TOWN: Selepas lebih sebulan menanti kepulangan anaknya, seorang ibu akhirnya reda menerima takdir apabila dimaklumkan anaknya, Shahir Zainul, 46, sebenarnya telah meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 11 Jun lalu.
Salmah Shamsudin, 72, berkata, berita itu diterimanya selepas waktu Isyak setelah dimaklumkan oleh seorang rakan kepada Shahir.
”Rakan kepada anak saya yang maklumkan hal ini (anak telah meninggal di HPP), selepas Isyak baru saya dapat tahu.
”Malam semalam juga kami terus datang ke hospital, anak-anak Shahir pun saya bawa sekali,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HPP, di sini hari ini.
Menurut Salmah, walaupun sedih dengan pemergian anak bongsunya itu, dia bersyukur kerana akhirnya dapat mengetahui nasib sebenar Shahir selepas kehilangannya sejak 10 Jun lalu.
”Saya rasa lega sebab kita dah tahu. Macam mana pun kita dah tahu tempat dia. Memang rasa berat juga, tapi saya pujuk hati.
”Macam mana pun kami sekeluarga reda. Sekurang-kurangnya kami dah tahu apa yang berlaku dan di mana dia berada. Selama ini kami hanya tertanya-tanya dan berharap dia akan pulang,” katanya.
Salmah berkata, dua cucunya yang kini berusia 13 dan 15 tahun akan terus tinggal bersamanya kerana dia yang menjaga mereka sejak kecil.
”Mereka berdua akan saya jaga. Dari kecil lagi saya yang jaga mereka,” katanya.
Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan lelaki itu dilakukan sepasukan anggota polis dan bomba di kawasan berhampiran sebuah kebun durian sejak awal pagi, namun, ditamatkan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan.
Difahamkan, pada 21 Jun lalu, pihak HPP turut mengeluarkan satu hebahan berhubung mayat seorang lelaki dewasa yang tidak dituntut di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan dalam usaha untuk mengesan waris.
Pengecaman oleh ahli keluarga mangsa malam tadi bagaimanapun mengesahkan bahawa mayat berkenaan adalah Shahir yang dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu. – UTUSAN










