PETALING JAYA : Seorang lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunway Mentari pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, penahanan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada Isnin lalu.
Katanya, lelaki berkenaan direman selama empat hari sehingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan.
“Polis juga akan membuat permohonan sambung reman terhadap dua suspek yang ditahan sebelum ini pada pagi ini.
“Siasatan masih giat dijalankan dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 10 Julai lalu, polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan selepas seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditemukan maut di sebuah hotel di Sunway Mentari sebelum direman tujuh hari.
Mangsa ditemukan tidak bernyawa selepas polis menerima maklumat pada pukul 11.23 malam, manakala pemeriksaan awal mengesan kecederaan pada tubuhnya.
Hasil bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah disebabkan hentakan objek tumpul pada bahagian badan.
Siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, manakala usaha mengesan suspek lain ketika itu masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN










