Seni Rimba saji resipi sendiri di tengah hutan

Seni Rimba saji resipi sendiri di tengah hutan

SUNGAI Kenoi mengalir di tepi Seni Rimba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU tidak nampak papan tanda, tiada siapa menyangka ada sebuah restoran di tengah-tengah hutan di tepi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak. Sudahlah tersorok, hendak masuk ke situ perlu tempuh sedikit ‘cabaran’ terlebih dahulu.

Terpaksa berjalan kaki menyeberangi bawah lebuh raya menggunakan jambatan kecil untuk sampai ke restoran. Itulah sebabnya laluan sepanjang kira-kira 100 meter menyusuri Sungai Kenoi itu digelar The Bridge Under the Bridge (jambatan di bawah jambatan).

 

Hati juga terdetik, betulkah jalan ke restoran sebab sunyi sepi sahaja? Bagaimanapun, sebaik sahaja memasuki halaman sebuah premis terletak di Bentong, Pahang itu, mata saya terpukau dengan keunikannya.

Di depan saya ada restoran ditutupi kehijauan dengan kebun dan sungai kecil mengalir di sebelahnya. Perlahan-lahan saya mula lupa tentang perasaan cuak tadi, sebaliknya beransur-ansur diganti dengan tenang, damai dan nyaman.

Ya, itulah keunikan Seni Rimba. Boleh tatap puas-puas kehijauan sambil didendangkan kicauan mergastua dan aliran sungai. Boleh pilih sama ada mahu duduk di bawah pohon buah-buahan, kanopi pokok atau ruang restoran. Sambil jamu selera, ibu bapa boleh pantau anak mandi di sungai cetek itu.

Dari lebuh raya memang tidak tahu keberadaan restoran ini kerana ditutupi kehijauan semula jadi. Namun, bagi yang peka, ada papan tanda Seni Rimba terpacak sebagai peringatan supaya memperlahankan kenderaan untuk memasuki kawasan restoran.

Seni Rimba yang dibuka sejak 2 Ogos tahun lepas menyajikan pelbagai hidangan tradisional Pahang. Kini tidak perlu lagi pergi jauh-jauh sampai ke Temerloh kalau mahu menikmati gulai tempoyak ikan patin, hanya 40 minit memandu dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Bukan setakat gulai tempoyak, masakan stail Cina yang jarang-jarang jumpa seperti ikan patin dan talapia stim kicap pun ada.

Pengusaha restoran, Nurul Shafina Aida Samad berkata, kebanyakan menu merupakan resipi sendiri daripada suaminya, Mohamad Yusni Mohamed Rashid.

 

 

 

Contohnya, roti disediakan untuk sarapan adalah resipi buatan sendiri termasuk pastri serta kek. Begitu juga hidangan Barat seperti burger, piza dan sup cendawan.

Oleh kerana saya dan isteri tiba selepas habis waktu makan tengah hari, maka kami pesan juadah minum petang. Kami pilih antara sajian eksklusif Seni Rimba, iaitu cucur udang bersama sos cili pekat, sos cili cair dan sambal bilis. Ternyata tekstur dan rasanya berbeza dengan cucur udang yang saya pernah beli sebelum ini. Rangup dan garing di bahagian luar manakala doh di dalamnya gebu serta padat, bukan ‘kosong’ bersama bilangan udang yang tidak ‘kedekut.’

Untuk minuman, selain teh tarik, kami cuba teh herba misai kucing yang cukup popular di rantau ini kerana kaya dengan antioksidan serta bertindak sebagai ejen detoksifikasi semula jadi.

“Tidak banyak kedai ada hidangkan teh misai kucing yang merupakan minuman herba untuk kesihatan. Ia ada peminat tersendiri.

“Di sini kita buat sendiri dan letak daun pandan bagi membangkitkan aroma,” jelas Nurul Shafina Aida yang lebih mesra disapa Aida.

Untuk pemanis mulut, rugi rasanya datang dari jauh kalau tidak cuba Ais Krim Rimba yang juga buatan sendiri. Didatangkan dengan dua skup berperisa vanila dan coklat. Rasanya lemak. Tidak terlalu manis. Bagi saya, rasanya lebih lazat berbanding jenama mat salih yang terdapat di pusat beli-belah.

Oleh kerana musim durian, pastinya raja buah yang diambil terus dari dusun di Raub ini sedia untuk dipilih pelanggan termasuk kami yang memang ‘hantu durian.’ Apa yang istimewa, ia durian organik D24. Rasanya lemak, lembut, tidak pahit, juga tidak tengik baunya.

Menurut Aida, durian organik juga antara yang dicari-cari pelanggan. Namun bergantung pada ‘nasib’ juga.

“Kalau tiba musimnya, rezekilah. Tahun lepas buah durian di sini tidak menjadi,” ceritanya.

Dia memberitahu, Seni Rimba boleh menampung kira-kira 500 pengunjung dalam satu-satu masa. Katanya, ramai datang dari Lembah Klang terutama pada hujung minggu dan juga dari sekitar daerah Bentong.

Bagi saya, pastinya mahu datang lagi. Namun, mungkin pada waktu malam pula untuk menikmati ‘misteri’ hutan dalam suasana gelap!-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN