Seludup tembakau guna dron ke penjara, lelaki berdepan hukuman denda RM10,000, penjara lima tahun

Seludup tembakau guna dron ke penjara, lelaki berdepan hukuman denda RM10,000, penjara lima tahun

Tertuduh , Mohd. Nizam Ab. Manaf dibawa keluar diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang peniaga keropok berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 selepas didakwa cuba menyeludup tembakau ke Penjara Sungai Udang menggunakan dron minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Nizam Ab. Manaf, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan termasuk menceroboh kawasan penjara bagi tujuan menyeludup barang larangan.

Pengakuan itu dibuat selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Nizam didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan niat menyeludup masuk barang larangan iaitu tembakau ke kawasan Penjara Sungai Udang menggunakan dron yang berada dalam kawalannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 1.20 pagi pada 15 Julai lalu di No. 1, Jalan KS 6, Taman Kris Satria, Sungai Udang di sini.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuba menyeludup artikel larangan iaitu tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron yang berada dalam kawalannya pada masa dan lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 58 Akta Penjara 1995 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta memohon tarikh sebutan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,700 sebulan hasil menjual keropok selain perlu menyara isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki dan wanita selepas membongkar cubaan menyeludup tembakau ke Penjara Sungai Udang menggunakan dron dalam serbuan di Taman Kris Satria, Sungai Udang.

Polis turut merampas sebuah dron dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN