Sektor pertanian, pelancongan desa dipertingkat di Kota Tinggi

Sektor pertanian, pelancongan desa dipertingkat di Kota Tinggi

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sektor pertanian dan perikanan serta pelancongan desa perlu dipertingkat untuk menjadi pemacu ekonomi luar bandar di daerah ini sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu dipilih kerana pembangunan sesebuah kawasan tidak semestinya diukur melalui pembinaan bangunan pencakar langit mahupun projek mega, sebaliknya berdasarkan kesejahteraan rakyat serta kemampuan mereka menjana pendapatan secara mampan.

“Kita hendak menjayakan hasil daripada produk pertanian.

“Di Kota Tinggi akan ada lebih ramai usahawan tani. Mereka tidak perlu bangunan pencakar langit ataupun gedung-gedung besar tetapi mereka boleh meningkatkan taraf hidup dengan baik,” katanya ketika meninjau perkembangan projek penternakan madu kelulut di Kampung Sedili Kecil di sini hari ini

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pada masa ini pelbagai projek rangkaian inisiatif ekonomi sedang dilaksanakan di Kota Tinggi termasuk pelepasan sejuta benih ketam nipah di Sungai Sedili Kecil dan 500,000 benih udang di Sungai Sedili Besar, tanaman halia, akuakultur serta pembangunan pelbagai perusahaan hiliran berasaskan hasil pertanian.

“Projek kelulut misalnya, berkembang kepada 70 rumah kelulut sejak saya menjadi wakil rakyat sini. Malah, permintaan terhadap madu kelulut juga terus berada pada tahap memberangsangkan sehingga penduduk sendiri berharap jumlah rumah kelulut dapat ditambah.

“Selain itu, selepas kita melaksanakan program pelepasan benih ketam nipah, pendapatan nelayan sungai memperoleh hasil tangkapan antara RM150 hingga RM200 sehari berbanding hanya RM40 hingga RM50 sehari,” katanya.

Katanya, semua projek terbabit dipantau secara berterusan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya peserta menerima bimbingan ilmu serta teknologi sesuai.

“Hasil keluaran usahawan di Kota Tinggi bukan sahaja dipasarkan kepada pengguna tempatan, malah turut mendapat permintaan dari luar termasuk Singapura menerusi promosi di media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kota Tinggi juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan desa menerusi keunikan makanan tradisional, kawasan bersejarah serta suasana kampung yang mampu menarik pengunjung sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Peranan kerajaan pula ialah memastikan kemudahan asas mencukupi seperti capaian internet, jalan raya dan masalah banjir dapat diatasi supaya sistem sokongan sosial di kawasan luar bandar terus terpelihara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN