Sekolah pondok perlu terokai ilmu baharu - Anwar - Utusan Malaysia

Sekolah pondok perlu terokai ilmu baharu – Anwar

ANWAR Ibrahim (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pelajar sekolah pondok, madrasah dan maahad bukan sekadar perlu menguasai ilmu-ilmu berteraskan agama Islam tetapi menerokai ilmu baharu seperti komputer dan kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekolah pondok, madrasah atau maahad perlu membuktikan bukan sekadar menguasai kepintaran, kecekalan, keterampilan dalam bidang-bidang disiplin tertentu seperti syariah, bahasa Arab dan sebagainya tetapi ilmu-ilmu baharu.

“Buktikan bahawa sekolah pondok dan madrasah atau maahad ini boleh melahirkan kepintaran, kecekalan, keterampilan pelajar dalam bidang-bidang disiplin tertentu iaitu syariah, bahasa Arab dan sebagainya; tetapi juga ilmu-ilmu baharu.

“Pondok dulu berperanan tetapi kalah juga akhirnya kerana perubahan itu begitu pantas dan kita tak dapat menangkap penguasaan ilmu-ilmu lain. Sebab itu saya lihat dan bangga. Alhamdulillah ustaz-ustaz dan pimpinan pondok tuan-tuan guru ini juga selain mengukuhkan tradisi Islam, kitab-kitab lama, masih bersedia menerobos, meneroka disiplin baru komputer dan AI,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anwar turut memuji Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri yang membantu memperbaiki sekolah-sekolah agama di seluruh negara.

“Saya bagi jaminan, insya-Allah kalau kesihatan terus sihat, ekonomi (makmur) begini, insya-Allah kita akan tingkatkan martabat sekolah agama, pondok di seluruh negara.

“Kita teruskan apa yang disebut inisiatif atau ikhtiar transformasi digital institusi pendidikan Islam yang kita luncurkan pada Mac lalu,” katanya.

Ujarnya, beberapa pondok, maahad atau sekolah menengah agama telah menerokai teknologi baru berkaitan komputer dan AI.

“Saya tengok ada permohonan dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah. Dia (mereka) minta daripada Perdana Menteri RM200,000, tapi saya luluskan RM300,000.

“Sekolah-sekolah pondok di Perak yang tidak cukup bantuan tahun lalu, kita beri RM15 juta lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN