Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA (BBU), Johor Bahru bukan sekadar sebuah institusi pembelajaran akademik, malah berjaya menonjol sebagai sekolah berteraskan kelestarian yang berjaya menggabungkan akademik, inovasi dan pemuliharaan alam sekitar dalam kehidupan harian warganya.
Persekitaran sekolah yang bersih, hijau dan ceria menjadikannya seakan-akan sebuah taman pendidikan yang memberi inspirasi kepada pelajar serta pengunjung yang melangkah masuk ke kawasan sekolah berkenaan.

Keunikan SMK Bandar Baru UDA terserlah menerusi pelbagai replika kreatif yang dihasilkan daripada bahan kitar semula seperti botol plastik, tayar terpakai dan bahan buangan lain yang diberi nafas baharu sebagai elemen landskap.
Hiasan berwarna-warni itu bukan sahaja mencantikkan kawasan sekolah, malah menjadi medium pendidikan kepada pelajar mengenai kepentingan amalan 3R iaitu mengurangkan, guna semula dan mengitar semula.
Setiap sudut sekolah menampilkan sentuhan kreativiti yang menggambarkan komitmen warga sekolah terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Panorama sekolah turut diserikan dengan pelbagai jenis tanaman hiasan, herba dan pokok buah-buahan yang ditanam secara terancang, selain kewujudan rumah hijau yang menjadi pusat pembelajaran berkaitan pertanian moden dan kelestarian.
Kehijauan yang menyelubungi kawasan sekolah mewujudkan suasana nyaman serta kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
Usaha berterusan itu menjadikan SMK Bandar Baru UDA sebagai contoh sekolah lestari yang bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, malah generasi yang menghargai dan memelihara alam sekitar untuk masa depan.

Usaha berterusan dalam membudayakan amalan kelestarian dan kemampanan di sekolah membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA menerima Anugerah Showcase
Emas peringkat negeri Johor baru-baru ini.
Pengetuanya, Mohd. Khairul Mohd. Amin berkata, pencapaian tersebut hasil sokongan padu warga sekolah terutama guru-guru serta penyelaras program kelestarian yang komited menjayakan pelbagai inisiatif berkaitan kemampanan.

Menurut beliau, aspek kelestarian kini menjadi antara hala tuju utama sekolah sejajar dengan keperluan pendidikan masa depan dan aspirasi Kementerian Pendidikan.
“Kelestarian merupakan antara fokus penting yang kami tetapkan dalam hala tuju sekolah bagi tahun 2026. Sebelum ini, perkara tersebut tidak dimasukkan secara khusus dalam perancangan sekolah.
“Kini, selain kecemerlangan sahsiah kepimpinan, akademik, kokurikulum dan sukan serta digital dan inovasi, kami turut meletakkan kelestarian sebagai satu bidang kecemerlangan yang perlu diberi perhatian,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar di SMK BBU, baru-baru ini.
Beliau berkata, kesedaran terhadap kepentingan kelestarian masih perlu diperkasakan dalam kalangan warga sekolah kerana aspek tersebut semakin diberi penekanan dalam sistem pendidikan negara.
Katanya, perkara itu selaras dengan perancangan pendidikan negara yang memberi fokus kepada transformasi berkaitan kemampanan bagi menghadapi cabaran masa depan.
“Ramai yang mungkin tidak melihat kelestarian sebagai satu keutamaan, namun Kementerian Pendidikan memberi penekanan terhadap aspek kemampanan dalam perancangan pendidikan negara.
“Atas sebab itu, SMK Bandar Baru UDA mengambil langkah proaktif menjadikan kelestarian sebagai salah satu identiti dan kekuatan sekolah,” ujarnya.
Mohd. Khairul berkata, pengiktirafan yang diterima di peringkat negeri membuktikan usaha warga sekolah berada pada landasan yang tepat.

Tambah beliau, kejayaan tersebut juga boleh dijadikan contoh dan dikongsi bersama sekolah lain bagi memperluaskan amalan terbaik berkaitan kelestarian.
“Kami berharap pengalaman dan pencapaian ini dapat dikongsikan dengan sekolah-sekolah berhampiran serta warga pendidik lain agar lebih banyak institusi pendidikan dapat melaksanakan program kelestarian secara berkesan.
“Walaupun masih dalam proses menuju kecemerlangan yang lebih tinggi, kami bersedia berkongsi idea dan amalan terbaik demi melahirkan generasi yang lebih peka terhadap alam sekitar dan kemampanan,” katanya.
Program kelestarian yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA bukan sahaja berjaya menceriakan persekitaran sekolah, malah membentuk kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Guru Kanan Sains dan Matematik merangkap Penyelaras Pendidikan Kelestarian sekolah, Raden Halimah Raden Jaafar, berkata, program tersebut mula digerakkan secara lebih aktif selepas tempoh.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), individu serta warga sekolah.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk kitar semula, penghasilan landskap menggunakan bahan terpakai dan penjagaan kawasan hijau bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif. “Matlamat utama program ini adalah untuk membudayakan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian pelajar serta menjadikan sekolah lebih bersih, ceria dan lestari.
“ katanya.
Beliau berkata, pasukan Eco Troopers sekolah turut memainkan peranan penting dalam memastikan pokok-pokok sentiasa dijaga, kawasan sekolah bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.
“Pelajar memberikan kerjasama yang sangat baik. Mereka bukan sahaja menjaga kebersihan kawasan sekolah, malah turut menegur rakan-rakan lain supaya bersama-sama mengekalkan persekitaran yang bersih dan indah,” katanya.
Tambah beliau, sokongan berterusan daripada PIBG dan komuniti setempat menjadi antara faktor kejayaan program tersebut.
Sementara itu pasukan Eco Troopers, pelajar Tingkatan Tiga, Qaseh Nurhusnina Mohamad Nazir, 15, berkata, program kelestarian menjadikan suasana sekolah lebih tenang dan selesa untuk belajar.

“Sekolah menjadi lebih ceria dan saya lebih seronok datang ke sekolah. Banyak perkara baharu yang saya pelajari mengenai penjagaan alam sekitar,” katanya.
Bagi Maisarah Mohd Fadzli, 15, aktiviti kitar semula yang dijalankan memberi kesedaran tentang kepentingan memanfaatkan bahan terpakai.
“Kami belajar bagaimana barang yang dianggap tidak berguna boleh digunakan semula dan memberi manfaat kepada persekitaran,” ujarnya.
Seorang lagi pelajar, Nur Adlina Iman Mohd Amir, 15, berkata amalan yang dipelajari di sekolah boleh dipraktikkan bersama keluarga di rumah.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari melalui program ini dan saya cuba mengamalkannya dalam kehidupan harian,” katanya.-UTUSAN










