SEREMBAN: Pembangunan pesat projek perumahan di Taman Tiara Sendayan yang merangkumi 13 fasa di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu di sini menyebabkan ramai penduduk terpaksa menghantar anak ke sekolah berbeza kerana kekurangan kapasiti di sekolah berhampiran.
Difahamkan, terdapat empat sekolah rendah berhampiran kawasan itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Labu, SK Gadong Jaya, SK Bandar Sri Sendayan dan SK Bandar Enstek dengan jarak antara lima hingga 12 kilometer (km) dari taman perumahan berkenaan.
Peniaga, Hazura Zakariah, 39, berkata, dia perlu menghantar keempat-empat anaknya ke sekolah seawal pukul 6.50 pagi setiap hari.

“Setiap pagi saya hantar semua anak sekali. Dua anak belajar di SK Labu, manakala dua lagi masing-masing di tingkatan dua dan tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Shahardin, Jalan Labu.
“Perjalanan dari rumah ke sekolah mengambil masa kira-kira 12 minit. Sebenarnya sekolah agak jauh kerana penduduk di taman ini terpaksa menghantar anak ke sekolah yang berbeza-beza.
“Persatuan penduduk juga pernah mengemukakan permohonan supaya sebuah sekolah baharu dibina memandangkan semakin banyak kawasan perumahan dibangunkan di sekitar sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Situasi sama turut dikongsikan bapa empat anak, Shaharil Iham, 48, yang perlu menghantar tiga anaknya ke SMK Bandar Enstek yang terletak kira-kira 12 km dari kediamannya di taman berkenaan.
“Seawal pukul 6.40 pagi saya sudah keluar rumah kerana perlu menghantar anak bongsu ke SK Labu terlebih dahulu sebelum menghantar tiga lagi anak ke sekolah menengah.
“Kadang-kadang, kami terlewat sampai ke sekolah akibat kesesakan lalu lintas atau ketika hujan,” katanya.
Sementara itu, penduduk di Taman Gadong Jaya yang terletak bersebelahan turut berdepan masalah sama apabila anak-anak mereka ditempatkan di sekolah berbeza berikutan kapasiti sekolah sedia ada yang tidak mencukupi.
Saiful Kamarul, 36, berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja tetap dan berniaga pau di tepi jalan bagi memudahkan urusan menghantar serta mengambil anaknya dari sekolah.

“Saya menghantar anak ke SK Gadong Jaya yang lebih dekat berbanding jiran-jiran lain yang terpaksa menghantar anak ke sekolah yang lebih jauh.
“Saya sudah menetap di sini selama lapan tahun dan memang tidak dapat dinafikan jumlah penduduk semakin bertambah. Saya ada mendengar cadangan pembinaan sekolah baharu, namun tidak pasti perkembangan terkini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Osman Kamarudin, 44, berkata, dia mengakui pembangunan perumahan di Negeri Sembilan berkembang dengan baik, namun isu kekurangan sekolah perlu diberi perhatian kerana menjadi antara keperluan utama penduduk.

“Apabila semakin banyak kawasan perumahan dibangunkan, kemudahan pendidikan juga perlu berkembang seiring. Ramai penduduk berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembinaan sekolah baharu bagi menampung pertambahan murid di kawasan ini,” katanya.
Untuk rekod, isu kepadatan murid di beberapa sekolah di sekitar Nilai dijangka dapat diatasi apabila Kompleks Sekolah Desa Casuarina Nilai dijangka beroperasi tahun depan. – UTUSAN










