BERMULA daripada sebuah kawasan yang agak terbiar, lokasi belakang sebuah bangunan di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus (SKPJ), Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang kini bertukar wajah apabila mula menghijau dengan tanaman sawi.

PEMASANGAN sistem NFT dan fertigasi meja membolehkan tanaman sawi secara hidroponik dilakukan oleh warga SKPJ di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Penyelaras projek, Anuar Kassim berkata, cadangan untuk membangunkan projek yang dikenali sebagai Laman Hijau RBT SKPJ itu bermula tahun lepas ketika dia sedang membersihkan kawasan tersebut dengan dibantu oleh sekumpulan murid daripada kelas 5 Potensi di sekolah terbabit.

Kumpulan murid tersebut pada mulanya mencadangkan agar tanaman cili diusahakan di situ sebelum cadangan berkenaan dipersetujui oleh Guru Besar SKPJ, Yusniza Yahya. Seorang wakil murid, Raudah Sumaiyyah Azizan kemudian telah pergi ke Jabatan Pertanian Seberang Perai Utara (SPU) untuk bertemu Penolong Pegawai Pertanian, Shahrul Izwan Mohd. Shukri sebelum dimaklumkan bahawa peruntukan untuk projek itu boleh dipohon melalui Program Pertanian Bandar 2026.
“Selepas permohonan dibuat, kami ada menerima lawatan daripada kakitangan Jabatan Pertanian SPU untuk melawat tapak dan mereka juga bersetuju meluluskan projek tersebut serta menyumbang beberapa peralatan berkaitan termasuk set NFT (Nutrient Film Technique) dan set fertigasi meja (untuk tanaman hidroponik).

“Kerja-kerja pembersihan kemudian dilakukan sekali lagi untuk pemasangan sistem NFT dan fertigasi meja manakala guru dan murid yang terlibat pula menyertai bengkel penanaman sebelum projek dimulakan baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Menurut Anuar, secara keseluruhannya, seramai 22 orang murid bersama tiga orang guru pembimbing menyertai projek tersebut yang bermula dengan projek penanaman sawi bu

at masa ini.
Katanya, walaupun hasil tanaman yang diperoleh mungkin dijual kepada mereka yang berminat, namun, tujuan utama pihak sekolah memperkenalkan inisiatif itu adalah untuk melahirkan lebih ramai murid yang mempunyai ciri-ciri usahawan tani yang berjaya.
“Hal ini akan dapat dilihat apabila murid-murid ini akan diberi peluang untuk mengurus proses penuaian sehingga pembungkusan serta memasarkan hasil tananam dengan pemantauan guru,” ujar Anuar.
Tambahnya, untuk tempoh jangka panjang, pihak sekolah juga berhasrat untuk meneroka satu lagi cabang pertanian iaitu sistem fertigasi untuk tanaman cili yang dijangka bermula Ogos ini.
Sementara itu, Raudah Sumaiyyah yang juga ketua penyelaras murid bagi projek itu berkata, dia dan rakan-rakannya tidak sabar untuk melihat hasil daripada tanaman sawi yang diusahakan itu sejak projek tersebut bermula.

“Pengalaman menguruskan tanaman sawi ini memberi satu keterujaan kepada diri saya dan rakan-rakan,” katanya.
Difahamkan, hasil tanaman berkenaan boleh dituai dalam tempoh antara 30 hingga 45 hari selepas tanaman terbabit mula diusahakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Yusniza selaku Guru Besar berterima kasih kepada Jabatan Pertanian SPU kerana membantu menjayakan projek Laman Hijau RBT SKPJ itu.
Pada masa yang sama, beliau turut menghargai kegigihan dan dedikasi pihak sekolah terutamanya guru dan murid yang terlibat dalam merealisasikan projek berkenaan bagi membolehkan murid mempelajari kemahiran pertanian serta teknologi secara amali dan sebagainya.
“Melalui Bengkel Penanaman Fertigasi Meja dan NFT daripada Jabatan Pertanian SPU, murid khususnya dapat mengetahui mengenai penanaman sayur, fertigasi dan sistem NFT selain dapat mengaplikasi ilmu yang dipelajari di dalam bilik darjah ke situasi sebenar,” ujar beliau. –UTUSAN










