PETALING JAYA: Hukuman sebatan terhadap pesalah jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian atau scammer wajar diseragamkan dengan kaedah sebatan bagi kesalahan jenayah berat seperti rogol dan pengedaran dadah bagi memberi kesan pencegahan lebih berkesan.
Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Fahmi Abd. Moin berkata, peruntukan undang-undang berkaitan hukuman terhadap pesalah penipuan perlu ditambah baik supaya tahap hukuman lebih sepadan dengan kesan jenayah berkenaan.
Ketika ini Seksyen 288 (4) Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan hukuman sebat bagi kesalahan komersial di bawah Seksyen 403, 404, 406, 407, 408, 409 dan 420 Kanun Keseksaan menggunakan kaedah seperti hukuman disiplin sekolah dengan rotan ringan.
Katanya, pendekatan itu berbeza dengan hukuman sebat bagi jenayah berat yang menggunakan rotan dengan saiz lebih besar iaitu tidak melebihi diameter setengah inci atau kira-kira 1.27 sentimeter.
Katanya, kesan dan akibat penipuan seperti jenayah scam, melibatkan kerugian wang ringgit dan menyebabkan mangsa mengalami kesukaran meneruskan kehidupan, khususnya jika ia membabitkan golongan rentan.
“Jika penipuan scam ini melibatkan golongan seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) atau tidak dapat bangkit daripada segi kewangan akibat penipuan tersebut, efek domino boleh berlaku seperti mangsa terlibat dalam kes jenayah lain termasuk dadah.
“Tetapi berdasarkan Seksyen 288 (4) Kanun Tatacara Jenayah, golongan scammer ini hanya dikenakan sebatan ringan seperti dirotan di sekolah. Jadi, saya cadangkan supaya kes-kes melibatkan penipuan termasuk scammer perlu sama memperuntukkan hukuman rotan seperti kesalahan berat lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Selasa lalu, kerajaan mememaklumkan sedang mengkaji hukuman sebat terhadap pesalah jenayah penipuan dalam talian atau scammer bagi memperketat undang-undang jenayah siber.
Hasil kajian itu akan dijadikan asas cadangan untuk mengemas kini pindaan undang-undang sedia ada termasuk memperkenalkan pemberian pampasan kepada mangsa jenayah siber.
Mengulas lanjut, Fahmi yang kini penguam bela dan peguam cara di Tetuan Fahmi Abd. Moin berkata, undang-undang tegas perlu diwujudkan, namun ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Tugas membenteras sepatutnya bermula daripada masyarakat, didikan di sekolah, penyampaian maklumat berkesan oleh pihak berwajib, pelaksanaan pemantauan yang ketat terutama penggunaan media sosial dengan lebih bertanggungjawab mungkin boleh membantu menangani isu ini,” katanya.
Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, cadangan melaksanakan hukuman sebatan seperti jenayah berat terhadap pesalah scammer boleh dilihat sebagai langkah pengajaran dan pencegahan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kajian menyeluruh perlu dibuat mengambil kira batasan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah yang tidak membenarkan hukuman sebat dikenakan terhadap wanita dan pesalah lelaki berusia lebih 50 tahun kecuali bagi kesalahan rogol.-UTUSAN









